FATTAH bersama kekasihnya, Sherry Ibrahim.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Sejak kisah cintanya bersama pelakon Sherry Ibrahim diketahui umum, Fattah Amin, 26, mengaku dia sering ditanya bilakah akan melangkah ke jenjang pelamin.

Tidak melatah atau marah dengan persoalan itu, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin berkata, dia belum ada perancangan ke arah itu.

“Pertanyaan itu sukar dijawab. Apa boleh saya katakan, buat masa sekarang belum ada sebarang perancangan.

“Apapun, tunggu saja kad kahwin daripada kami,” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Hello Mr Perfect ini selesa bersikap ‘low profile’ dan tidak mahu terlalu terbuka berbicara soal cinta.

“Semua sedia maklum hubungan kami, cuma saya rasa tak manis kalau terlalu terbuka bercerita. Bukan apa, bimbang nanti peminat fikir saya dan Sherry mahu menunjuk dan suka menjaja kisah cinta.

“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk bersikap ‘low profile’. Kalau perasan di laman Instagram kami pun jarang ada gambar bersama,” katanya.

Apa dilakukan Fattah itu bukan kerana mahu menyembunyikan hubungan itu, sebaliknya ia bagi mengelakkan orang sekelililing berkata yang bukan-bukan.

Terbaru, kekasih Fattah itu mengambil pendekatan memadam gambar percutian mereka di Bali, hujung tahun lalu.

“Kami ke sana bukannya berdua, sebaliknya bersama rakan lain. Malah, keluarga kami juga tahu mengenai percutian ini. Kebetulan kami ada urusan kerja di sana.

“Sherry membuang gambar percutian kami apabila ada segelintir peminat melemparkan kata-kata kasar,” kata Fattah yang kecewa dengan sebuah portal hiburan kerana menggunakan tajuk sensasi seolah-olah dia dan Sherry bercuti berdua sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Bercuti bersama peminat

Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 26 tahun ini berbesar hati menjadi pilihan sebuah agensi pelancongan untuk bercuti bersama peminat ke Bali, Indonesia.

Fattah mengakui teruja dengan tawaran itu, apatah lagi dia artis pertama menjayakan projek anjuran agensi terbabit.

“Sebelum ini saya pernah dapat tawaran sama daripada pihak lain, tetapi terpaksa tolak kerana masa tidak mengizinkan.

“Bulan lepas, saya terima tawaran ini dan bersetuju kerana ada kelapangan. Tambahan pula percutian ini membabitkan peminat,” katanya.

Menurut Fattah, peluang itu secara tidak langsung membuka ruang kepadanya mendekati peminat yang menyokong kerjayanya selama ini.

Percutian Bali Gateway With Fattah Amin 2016 ini diadakan selama tiga hari bermula 1 sehingga 3 April depan.

“Sepanjang tiga hari di sana, saya akan habiskan masa dengan peminat. Inilah kesempatan terbaik untuk bersama mereka. Selalunya jumpa pada acara hiburan, jadi tidak puas,” katanya.

Lebih buat Fattah terharu apabila ada peminat yang masih belajar sudah buat tempahan awal dan mengumpul duit untuk menyertai percutian itu.

Kongsinya, seramai 30 peminat sudah mengesahkan tempat dan berbaki 20 lagi.

“Sebagai permulaan, penyertaan terhad kepada 50 peminat. Bukan apa, senang untuk saya fokus dan beramah mesra.

“Insya-Allah, pada masa depan kita akan buka lebih penyertaan,” katanya.

Berkenaan kerjaya lakonan, Fattah baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Hello Mr Perfect Raya dan Raya Kami.

Selain itu, Fattah kini terikat dengan penggambaran drama Ketupat Palas Mr Handsome lakonan bersama Mira Filzah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 12:44 PM