MICHELLE (kiri) bersama Liow, Kanak dan Todt melancarkan kempen Safe Steps Road Safety.
TODT (dua dari kiri) menandatangani topi keledar sebagai simbolik pelancaran sambil disaksikan Michelle dan Liow.
MICHELLE memakaikan topi keledar kepada kanak-kanak Kemboja ketika pelancaran kempen di negara itu.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Di seluruh dunia, 1.3 juta orang terbunuh di jalan raya, termasuk 500 orang kanak-kanak setiap hari. Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemalangan jalan raya adalah punca kematian nombor satu untuk mereka yang berusia 15 hingga 29 tahun.

Ia kini menjadi isu serius di Asia berikutan pembangunan berlaku dengan begitu pesat. Di Malaysia, secara purata 6,000 hingga 7,000 kematian berkaitan kemalangan jalan raya direkodkan setiap tahun, jauh lebih tinggi berbanding negara lain.

Jika dibandingkan dengan purata 18 kematian bagi setiap 100,000 populasi di dunia, statistik di Malaysia pula merekodkan kematian 23.6 untuk setiap 100,000.

Sehubungan itu, Yayasan Prudence bekerjasama dengan penerbit dan aktres antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh, National Geographic Channel yang merupakan sebahagian rangkaian FOX International Channels (FIC) serta Federation Internationale de l’Automobile (FIA) untuk melancarkan program Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS.

Ia inisiatif khidmat masyarakat yang pertama seumpamanya di wilayah pan-Asian, program Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai salah satu punca utama kematian di dunia.

Di samping menawarkan maklumat jelas dan mudah yang mampu menyelamatkan nyawa dengan cara menyampaikan mesej mengenai keselamatan jalan raya. Ia dilaksana berdasarkan kepada kejayaan program Bencana Alam SAFE STEPS yang dilancarkan pada 2014 oleh Yayasan Prudence dan National Geographic Channel.

Program yang disokong Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) itu dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, baru-baru ini. Majlis turut dihadiri Michelle Yeoh, Presiden FIA dan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Keselamatan Jalan Raya, Jean Todt dan Pengerusi Yayasan Prudence, Donald Kanak.

Liow berkata, sejak beberapa tahun ini kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta sudah menerajui pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya dalam mengetengahkan jumlah kemalangan dan kematian yang membimbangkan.

Katanya, ini penting dalam mendidik orang awam mengenai langkah keselamatan jalan raya sehingga ia menjadi gaya hidup untuk pengguna jalan raya di Malaysia

“Saya berharap kempen ini memainkan peranan penting dalam membantu usaha kementerian untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kematian,” katanya.

Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS adalah program pendidikan jangka panjang yang menggunakan pelbagai platform termasuklah video, laman web informatif dan material cetakan yang boleh dikongsi menerusi aktiviti berasaskan masyarakat.

Tunjang utama program ini ialah satu siri video pengumuman khidmat masyarakat (PSA) berdurasi 60 saat yang dihasilkan bersama Yayasan Prudence, FIA dan National Geographic Channel.

Video berkenaan menampilkan duta Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS, Michelle Yeoh yang menyampaikan nasihat mengenai aspek penting yang perlu diingati ketika memandu kereta, menunggang motosikal dan pejalan kaki. Semua tip SAFE STEPS ini diluluskan oleh Pertubuhan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Donald Kanak berkata, sebagai sebahagian daripada Prudential, Yayasan Prudence mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan menyelamatkan nyawa. Kempen itu kini berada di 24 buah negara dalam 10 bahasa yang diharap mampu menyelamatkan nyawa di seluruh Asia menerusi mesej pendidikan yang penting dan mudah diikuti.

Mengulas mengenai peranannya sebagai duta Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS, Michelle berkata, keselamatan jalan raya adalah perkara yang dekat di hatinya.

“Ramai orang terbunuh dan tercedera disebabkan kemalangan jalan raya. Apabila program ini dicadangkan kepada saya, saya terus menerimanya.

“Ketika saya berusaha mengetengahkan Tindakan Sedekad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Keselamatan Jalan Raya, saya juga berbangga untuk mempromosikan subjek penting ini di Asia, di kampung halaman saya. Dengan mesej ini, kita semua boleh memainkan peranan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Sementara itu, Jean Todt berkata, dengan meningkatkan kesedaran mengenai risiko di jalan raya, kempen itu boleh membantu mengubah sikap dan kebiasaan orang awam serta menyelamatkan banyak nyawa.

“Semua pihak digalakkan untuk menyokong kempen ini dan menyeru kerajaan mengambil tindakan bagi memenuhi sasaran matlamat pembangunan lestari bagi mengurangkan angka kematian dan kecederaan global akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus pada tahun 2020.

“Keutamaan seharusnya diberikan kepada undang-undang keselamatan jalan raya yang lebih berkesan dan memastikan penguat kuasaannya di semua peringkat,” katanya.

Program Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS memberi fokus terhadap mesej mengenai memandu dalam keadaan mabuk, gangguan ketika memandu, tali pinggang keledar, had kelajuan, motosikal dan pejalan kaki.

Video itu sudah mula ke udara di seluruh Asia melalui 17 saluran di rangkaian FIC yang mampu menjangkau sehingga lebih 80 juta penonton di Asia.

Kandungan video ini juga dipersembahkan dalam sembilan bahasa tempatan - bahasa Indonesia, bahasa Malaysia, Burma, Kantonis, Khmer, Mandarin, Filipino, Thai dan Vietnam.

Di Malaysia, rakan Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS termasuklah Automobile Association of Malaysia (AAM), Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Bosch.

Mesej pendidikan ini turut disiarkan di laman web SAFE STEPS, www.safesteps.com. Pengunjung laman web ini boleh mengakses material pendidikan seperti risalah dan poster yang boleh dimuat turun untuk diagihkan kepada masyarakat setempat.

Melalui gabungan siaran televisyen, dalam talian dan cetakan, program Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS berhasrat untuk menyampaikan maklumat penting yang boleh menyelamatkan seramai mungkin nyawa di Asia dan di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:33 AM