KELLY (kanan) meraikan jaringan kemenangan Palace.

London: Kedua-dua kelab London Chelsea dan West Ham mara ke suku akhir Piala FA ketika pencabar Tottenham Hotspur tersingkir di tangan Crystal Palace.

Martin Kelly muncul wira Palace di White Hart Lane apabila gol pertamanya untuk pasukan selatan London itu, dan pertama buatnya selepas 1,545 hari menjaringkan gol buat Liverpool ke atas Chelsea pada November 2011 pada saat akhir separuh masa pertama mengubah nasib pasukan itu.

Ganjaran Palace adalah aksi suku akhir menentang kelab divisyen kedua Reading, yang pernah dikendalikan pengurus Eagles, Alan Pardew.

Chelsea, yang membelasah pasukan kedua Manchester City 5-1 di Stamford Bridge, akan berkunjung ke Everton untuk mengulangi aksi final Piala FA 2009 yang mana Blues memenanginya pada penggal pertama Guus Hiddink sebagai pemangku pengurus Chelsea.

West Ham, yang menewaskan pasukan Liga Kejuaraan Blackburn Rovers pada pusingan kelima 5-1, akan menentang pemenang di antara kelab divisyen ketiga Shrewsbury Town dan Manchester United.

Sementara itu juara bertahan Arsenal, bertekad menjadi pasukan pertama menjuarai Piala FA buat kali ketiga berturut-turut sejak abad ke-19, perlu menewaskan Hull dalam perlawanan ulangan selepas seri tanpa jaringan Sabtu lalu di Emirates jika mahu menentang Watford pada perlawanan suku akhir bulan depan. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 9:59 AM