ISMAIL (dua dari kiri) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) melancarkan Pasukan Sukarelawan Perikanan (SUPER) Peringkat Kebangsaan di Fiesta Perikanan 2015 di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, tahun lalu. - Gambar hiasan
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Industri perikanan negara yang terdiri daripada perikanan tangkapan dan akuakultur dijangka mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Permintaan terhadap ikan dijangka meningkat daripada 1.9 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada tiga juta tan metrik pada tahun 2020.

Penggunaan perkapita bagi ikan sebagai makanan dijangka meningkat daripada 46 kilogram (kg) kepada 55kg pada kadar 1.9 peratus setahun untuk tempoh sama.

Peningkatan dalam permintaan didorong kesedaran pengguna terhadap sumber protein dalam produk perikanan berkhasiat.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, akuakultur dikenal pasti sebagai satu sumber utama untuk meningkatkan pengeluaran ikan bagi memenuhi permintaan domestik dan memperkembangkan potensi eksport.

Beliau berkata, pada tahun 2014 perusahaan akuakultur di negara ini menghasilkan pengeluaran berjumlah 520,514 tan metrik dengan nilai kira-kira RM3.47 bilion.

“Pengeluaran itu menyumbang 26 peratus kepada jumlah pengeluaran ikan negara. Pembangunan akuakultur negara menunjukkan perkembangan pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak lapan peratus setahun dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Kerajaan terus memberi tumpuan untuk menggalakkan pembangunan akuakultur negara melalui program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan tersenarai dalam Projek Utama di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Sektor Pertanian sehingga tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Agro Harian Metro mengenai pencapaian tahun 2015 dan hala tuju Jabatan Perikanan menjelang tahun 2020 di Putrajaya, baru-baru ini.

Ismail berkata, Malaysia mampu mengoptimumkan pembangunan akuakultur berdasar potensi sumber kawasan, kesesuaian iklim dan kedapatan teknologi pengeluaran bagi memenuhi peningkatan permintaan di pasaran domestik dan global.

“Jabatan Perikanan akan menyediakan Pelan Tindakan bagi menggalakkan pembangunan akuakultur sehingga mampu menyumbang 50 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan negara menjelang tahun 2020.

“Sasaran baru sebanyak 1.443 juta tan metrik dijadikan satu inisiatif utama di bawah Program Transformasi Agromakanan bagi memastikan sub-sektor perikanan terus menyumbang kepada kecukupan bekalan makanan negara.

“Ia dapat meningkatkan pendapatan pengusaha dan menjadikan bidang agromakanan sebagai perniagaan yang berdaya saing dan mampan,” katanya.

Menurutnya, sasaran pengeluaran akuakultur di bawah Dasar Agromakanan Nasional (DAN) adalah sebanyak 794,000 tan metrik pada akhir tahun 2020.

“Prestasi pengeluaran akuakultur negara sejak satu dekad telah meningkat pada kadar lapan peratus setahun. Pertumbuhan pengeluaran tahunan perlu ditingkatkan pada kadar 12.8 peratus untuk mencapai sasaran asal DAN.

“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan itu perlu meningkat melebihi 20 peratus untuk mencapai sasaran baru sebanyak 1.443 juta tan metrik.

“Sasaran pengeluaran akuakultur di bawah DAN tidak mampu dicapai sekiranya tiada pembabitan masyarakat setempat khasnya kumpulan sasar.

“Kerajaan menyediakan 13,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat dan sehingga kini kira-kira 1,600 sudah terbabit secara langsung,” katanya.

Ismail berkata, tahun 2015 tempoh penting kepada Jabatan Perikanan dalam mengukur impak dasar, prestasi yang dilaksanakan berdasarkan sasaran yang ditetapkan di bawah Program Transformasi Agro-Makanan.

“Di bawah RMK-10, kerajaan meluluskan peruntukan RM920 juta bagi melaksanakan 69 projek pembangunan dan tiga projek NKEA.

“Antara cabaran 2015 seperti isu berkaitan pengeluaran dan permintaan ke atas ikan serta produk ikan termasuk alam sekitar telah mempengaruhi senario pembangunan sub-sektor perikanan.

“Isu utama berkaitan dengan pengeluaran ialah kemerosotan sumber, perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan kegagalan untuk mencapai tahap jaminan makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 9:58 AM