PEMAIN Selangor gigih berlatih untuk menentang Ceres.

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan mengharapkan anak buahnya tidak akan pulang dengan tangan kosong pada aksi pembukaan Kumpulan E Piala AFC menentang kelab Filipina Ceres FC di Stadium Panaad hari ini meskipun terpaksa melakukan rombakan ke atas pasukannya.

Selepas mengharungi saingan domestik agak padat dan perjalanan agak lama untuk tiba di Bacolod City kelmarin, pengendali itu turut berdepan masalah kecederaan serta kecergasan pemain.

Biarpun penyerang Patrick Ronaldinho tetap bersama pasukan sekalipun dikatakan cedera namun, Hazwan Bakri dan Robert Cornthwaite sah tidak boleh beraksi manakala situasi R Gopinathan dan Mauro Olivi masih 50-50.

“Selepas menempuh perjalanan jauh, pemain perlu rehat yang cukup. Beberapa pemain yang cedera masih belum pulih dan saya akan uji tahap kecergasan Gopinathan dan Olivi malam ini (semalam) dan kemungkinan besar ada perubahan dalam kesebelasan utama,” kata Zainal.

Zainal yang memimpin Pahang dalam kancah Piala AFC tahun lalu sedar jika Gergasi Merah mahu melangkah lebih jauh kali ini, mereka perlu mencipta sesuatu di gelanggang lawan.

“Selangor sudah beberapa kali bertanding dalam Piala AFC dan ini satu-satunya kejohanan kami gagal melangkah jauh. Semua pasukan dalam kumpulan ini bagus jadi kami perlu lebih berdisiplin apabila turun bermain di gelanggang lawan kerana mata di tempat lawan akan banyak membantu kemaraan pasukan,” jelasnya.

Bagi Franklin Muescan yang membimbing juara liga divisyen satu Filipina Ceres FC membuat penampilan pertama di kejohanan ini berkata, mereka sudah bersedia memberikan tentangan.

“Kami cukup teruja untuk turun beraksi dalam perlawanan pertama Piala AFC. Kami sudah melakukan persiapan rapi sejak tiga bulan lalu dan walaupun Selangor pasukan berpengalaman kami sudah bersedia,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 9:55 AM