Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my


Jasin: Suami isteri ditahan, 236 tong gas kosong dan yang berisi Gas Petroleum Cecair (LPG) serta lori dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka, di rumah di Taman Merbau Jaya, di sini, hari ini, kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Timbalan Ketua Penguat kuasa KPDNKK Melaka Rosley Abdullah berkata, rampasan itu membabitkan nilai RM42,000.

Katanya, serbuan dibuat selepas pihaknya melakukan risikan selama empat hari.

“Suami isteri yang ditahan berusia 30-an. Kita merampas 167 tong gas kosong dan 69 tong gas yang berisi gas LPG.

"Sebanyak 24 tong gas yang dirampas ditemui di belakang rumah pasangan terbabit dan selebihnya di atas lori," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 9:10 PM
Rosley (kiri) memeriksa tong gas yang dirampas. FOTO Nor Shafinaz Sari