MAYAT mangsa ditemui dalam semak di kawsan kebun di Kampung Maan. FOTO ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Padawan: Mayat lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir di kawasan kebun di Kampung Maan, Siburan di sini, Sabtu lalu ditemui petang tadi.

Mayat korban pertama banjir itu, Judus Jalina, 20, ditemui 5.50 petang oleh pasukan penyelamat kira-kira 150 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat ditemui dalam semak di kawasan kebun.

Menurutnya, paras air yang semakin surut kurang daripada 0.5 meter memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Mangsa ditemui lengkap berpakaian terbaring dalam semak di kebun itu.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kira-kira 11 pagi tadi pasukan penyelamat menemui beg sandang yang digunakan mangsa juga tidak jauh dari lokasi dia terjatuh.

"Operasi SAR ditamatkan sejurus penemuan mayat mangsa," katanya.

Dalam kejadian 9 malam Sabtu lalu, mangsa bersama beberapa rakan cuba menyeberang jalan yang ditenggelami air sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, rakan mangsa yang sempat berpaut pada dahan pokok hanya mampu melihat mangsa dibawa arus deras sebelum hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 7:27 PM