DR Sothi bersalaman dengan Chin selepas majlis menandatangani MoA di Nilai Universiti.

Nilai Universiti (Nilai U) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) untuk memberi kemudahan kepada penuntut universiti berkenaan mengambil program perakaunan dan kewangan.

Naib Canselor Nilai U, Prof, Datuk Dr Sothi Rachagan berkata, perjanjian itu melengkapkan kelayakan profesional penuntut jurusan perakaunan dan kewangan di universiti berkenaan.

“Apabila penuntut tamat pengajian, mereka berpeluang mendapat pekerjaan dengan lebih mudah berikutan kerjasama antara universiti dan ACCA.

“Ini disebabkan penuntut jurusan ini turut dilengkapi kelayakan profesional iaitu ACCA bagi dua subjek popular di universiti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoA bersama Ketua Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), David Chin di Nilai U, Khamis lalu.

Dr Sothi berkata, pihaknya yakin MoA itu secara langsung akan meningkatkan jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih universiti itu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

“Kini hanya sebilangan kecil universiti menjalinkan MoA bersama ACCA. Pelajar turut layak mendapat pengecualian pembayaran pendaftaran awal di Nilai U,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 9:47 AM