AHMAD Mahfuz
Oleh Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Marsh Takaful Brokers (Malaysia) Sdn Bhd (Marsh Takaful Brokers) optimis sektor takaful negara akan terus menyaksikan perkembangan pesat, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab takaful global menjelang 2020.

Marsh Takaful Brokers adalah syarikat broker takaful dan penasihat risiko di bawah jenama antarabangsa, Marsh & McLennan Companies yang mula beroperasi sejak 2012 apabila berjaya memperoleh lesen sebagai broker takaful (khusus).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Mahfuz Ismail berkata, industri takaful terus menunjukkan prestasi cemerlang dan memberangsangkan apabila berjaya mengumpul aset sehingga RM23 bilion sehingga 2014 sejak ia mula bertapak di negara ini pada 1984 dengan aset berjumlah RM1.4 bilion.

Menurutnya, industri juga akan terus dipacu oleh kesedaran orang ramai akan kepentingan memiliki insurans sebagai perlindungan pada masa depan dengan jangkaan lonjakan pada separuh kedua tahun ini apabila sentimen pengguna mulai kembali pulih.

“Selain itu, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 menjadikan pengguna lebih berhati-hati dalam berbelanja, namun ia kembali seperti biasa apabila mereka sudah menyesuaikan diri dengan cukai baru itu.

“Walaupun diduga dengan pelbagai cabaran dan kemelut ekonomi global semasa, kejatuhan ringgit dan harga minyak dunia, caruman premium takaful seperti simpanan takaful dan perlindungan peribadi masih lagi mendapat permintaan serta perhatian daripada pengguna,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, pada tahun 2015 industri takaful tempatan mencatat sumbangan bersih RM6 bilion hingga RM7 bilion daripada keseluruhan sumbangan takaful di peringkat global yang berjumlah AS$14.7 bilion (RM61.2 bilion).

“Prestasi ini sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada syarikat untuk mencapai sasaran sumbangan kasar sekitar RM80 juta hingga RM100 juta pada 2016 dengan pertumbuhan cergas 30 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Dalam pasaran dunia, Arab Saudi menguasai 55 peratus daripada sumbangan takaful global manakala di peringkat ASEAN, Malaysia dan Indonesia menguasai 30 peratus daripada keseluruhan pembangunan kasar takaful diikuti negara Gulf Cooperation Council (GCC), sebanyak 10 peratus.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesediaan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimeterai, Ahmad berkata, perkara terbabit mampu memberikan akses pasaran baru di rantau ASEAN dan Asia khususnya China serta Jepun malah turut menembusi Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat.

Katanya, permintaan bagi kewangan Islam di negara-negara berkenaan sentiasa berkembang kerana mereka mencari alternatif kepada produk yang ada di pasaran dan bukannya untuk bersaing sekali gus membolehkan portfolio dipelbagaikan serta mengukuhkan kesediaan dalam perjanjian perdagangan bebas itu.

Selain itu, Ahmad berkata, pihaknya turut berusaha dalam menguruskan persediaaan khususnya daripada segi struktur dan proses selain akan melakukan pelaburan dalam melahirkan bakat profesional takaful bagi menghasilkan perkhidmatan berkelas dunia.

“Marsh Takaful Broker sentiasa ada dalam membantu syarikat di luar sana untuk mendapatkan pulangan terbaik daripada pelaburan takaful seterusnya mewujudkan penyelesaian takaful yang boleh menjadikan pelanggan lebih berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 6:52 AM