Kaki pancing bersama kru bot selamat tiba di Terminal Jeti Feri Penumpang Kuala Kedah, 7 malam tadi. FOTO Amran Hamid.
Norul Awatif Romli dan Zuliaty Zulkifli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Bot penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 5 yang membawa 14 kaki pancing bersama lima kru bot nelayan kelas A yang hilang di perairan Pulau Payar, Langkawi, dekat sini, malam tadi selamat tiba di Terminal Jeti Feri Penumpang Kuala Kedah.

Mereka tiba kira-kira 7 malam diiringi APMM Pangkalan Kuala Kedah dan Pangkalan Langkawi serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak awal pagi hari ini.

Selain itu, pasukan perubatan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersiap sedia di terminal jeti untuk memberi bantuan awal kecemasan kepada kesemua mangsa sekiranya diperlukan.

Kaki pancing dan kru bot itu dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin dan hanyut kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Payar malam tadi sebelum mereka ditemui selamat pada kedudukan 17 batu nautika di selatan dari lokasi asal dilaporkan hilang.

Terdahulu, APMM menghantar bot penyelamat 5 dari Langkawi dan bot penyelamat 41 dari Kedah bersama helikopter Agusta AW139 bagi melakukan misi SAR di sekitar kawasan kejadian.

Turut dihantar tiga bot nelayan dari Kuala Kedah bagi membantu misi SAR berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, keadaan angin kencang disertai ombak kuat di persekitaran perairan Pulau Payar menyukarkan operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

"Kira-kira jam 7 pagi dua aset membabitkan bot ronda PA4 dan PSC18 dihantar ke kawasan laut untuk tugas SAR.

"Bagaimanapun, keadaan laut bergelora dan angin kencang menyukarkan kerja pencarian dijalankan menyebabkan bot PSC18 terpaksa berpatah balik ke Pulau Payar mencari tempat perlindungan sebelum meneruskan semula tugas SAR ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 8:15 PM