Kuala Lumpur: Anggota Umno kini boleh mengetahui perkembangan terkini mengenai Perhimpunan Agung Umno 2014 melalui ‘Aplikasi IT Umno’ (AIU) yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar.

Aplikasi itu dilancarkan oleh Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa taklimat Presiden sempena perhimpunan agung parti itu di sini, hari ini.

AIU yang dibangunkan oleh Biro IT Umno pimpinan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, merupakan platform bagi anggota-anggota parti untuk berinteraksi secara maya dan mendapatkan direktori anggota.

Selain mendapat maklumat mengenai parti secara berkala, mereka boleh memberi maklum balas mengenai ucapan-ucapan dasar sayap atau sesi perbahasan sepanjang lima hari perhimpunan itu berlangsung.

Platform ini juga boleh diakses oleh anggota parti yang tidak berkesempatan untuk hadir ke persidangan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Melalui aplikasi itu juga, para perwakilan berpeluang memenangi hadiah menerusi pertandingan ‘selfie’ terbaik di sekitar lokasi perhimpunan berdasarkan kreativiti masing-masing.

Para perwakilan boleh memuat turun aplikasi itu melalui ‘Apps Store’ bagi pengguna gajet Apple dan ‘Google Play Store’ untuk pengguna peranti Android, selain dapat menggunakan ‘Kod QR’ yang diletakkan di sekitar PWTC.

Menurut sukarelawan AIU, Muhammad Nadhir Azizan, 19, pengguna hanya perlu memasukkan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon untuk aplikasi itu mengesan maklumat keanggotaan parti menerusi pangkalan data.

“Selain itu, mereka juga akan mempunyai ‘Kod QR’ masing-masing yang berfungsi dalam ‘chatroom’ yang disediakan dalam aplikasi itu untuk berinteraksi antara satu sama lain.

“Mereka tidak perlu lagi merujuk kepada papan kenyataan sebaliknya segala maklumat boleh diakses di hujung jari sahaja,” katanya.

Selain itu, ruang-ruang di PWTC telah dilengkapi dengan AIU Wifi Hotspot bagi membolehkan semua pengunjung menggunakan internet secara percuma, di samping memuat turun aplikasi AIU dan menggunakannya.

Sebanyak 30 sukarelawan AIU telah ditempatkan di sekitar PWTC bagi membantu para perwakilan menggunakan aplikasi itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 11:16 PM