Kolej Antarabangsa Automotif (ICAM) di Pekan, Pahang, kini menjadi DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU)
Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


Pekan: Penubuhan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) di sini, tepat pada masanya, menjadi pelengkap pertumbuhan kemahiran diperlukan sektor industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, DHU yang dulunya dikenali sebagai Kolej Antarabangsa Automotif (ICAM) akan berkembang sebagai institusi pendidikan menyediakan tenaga mahir dalam bidang automotif di dalam dan luar negara.

“Kerajaan amat mengalukan usaha pihak swasta khususnya DRB-HICOM yang sanggup berbelanja besar, sebanyak RM350 juta untuk membina DHU.

"Saya difahamkan akan ada fasa kedua selepas ini untuk tambah kemudahan seperti fakulti baru dan penyelidikan yang menelan kos RM150 juta lagi," katanya berucap dalam Majlis Perasmian DHU dan Istiadat Pemasyhuran Canselor.

Majlis disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang diwakili Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah turutdimasyhurkan sebagai Canselor pertama DHU.

Najib berkata, hari ini rakyat Pekan boleh berbangga kerana daerah itu kini mempunyai dua buah universiti selepas Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Semua ini tidak akan berhasil tanpa sokongan semua pihak termasuk Sultan, Kerajaan Pahang serta Kerajaan Pusat yang menyokong dasar pendidikan dan industri negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 1:53 PM