PEMAIN Chelsea wajib benam City.

London: Guus Hiddink mengingatkan Chelsea supaya tidak mengambil mudah aksi menentang Manchester City walaupun Manuel Pellegrini berhasrat menurunkan pasukan lebih lemah pada pusingan kelima Piala FA malam ini.

Ketika City bakal mengharungi perjalanan panjang ke Ukraine untuk mengharungi perlawanan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara di Dynamo Kiev, Pellegrini meminta FA supaya tidak tunduk kepada kehendak stesen televisyen yang mahu meminda pertemuan dengan Chelsea berbanding jadual sebenarnya semalam.

Tetapi permintaan Pellegrini itu tidak dilayan dan City yang perlu bersiap untuk mengharungi final Piala Liga menentang Liverpool minggu depan, perlu ke Stamford Bridge, 24 jam lebih lewat berbanding apa yang mereka mahukan.

Sebagai balasan, pengurus City itu bakal menurunkan barisan pemain muda yang selama ini mengisi skuad simpanan pasukannya.

“Kami sentiasa cuba untuk menurunkan pasukan terkuat dalam setiap pertandingan kerana semuanya penting terutama Piala FA,” kata Pellegrini.

“Kami berminat untuk meneruskan saingan dalam pertandingan ini. Tapi seperti yang saya katakan seminggu lalu, jika anda mahu melindungi kelab Inggeris dalam Liga Juara-Juara, perlawanan menentang Chelsea sepatutnya diadakan pada Sabtu.

“Atas pelbagai alasan kami tidak boleh bermain hari itu. Kami perlu mengutamakan Liga Juara-Juara dan sehubungan itu, biar kita lihat pasukan mana yang akan menurunkan pasukan terbaik untuk Piala FA.”

Secara tidak langsung, Pellegrini sudah memberikan peluang kepada Chelsea untuk layak ke suku akhir kerana Hiddink boleh menurunkan barisan terbaiknya selepas menamatkan aksi Liga Juara-Juara minggu ini.

Tetapi pengurus Blues itu percaya skuad muda City tetap mampu mengancam, tambahan pula masing-masing mahu menunjukkan bakat selepas berpeluang diturunkan.

Hiddink juga berkata, kekalahan City di tangan Leicester dan Tottenham juga akan membuatkan mereka mahu memburu kemenangan bagi melonjakkan semula moral. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:05 AM