CHICCO Jerikho.
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Aktor kacak, Chicco Jerikho, 31, terlebih dulu dikenali sebagai pelakon drama bersiri. Namun sebaik bakatnya diketengahkan menerusi filem Lawaing Sewu, dia mula menjadi perhatian penggiat industri perfileman Indonesia.

Di sini namanya mungkin masih asing namun di seberang, Chicco antara pelakon muda popular yang digilai ramai. Bakat anak muda yang mula dikenali menerusi drama bersiri Cinta Bunga itu turut diiktiraf penggiat apabila menang Anugerah Citra di Festival Film Indonesia 2014 untuk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Cahaya Dari Timur: Beta Maluku.

Membintangi filem baharu arahan pengarah terkenal Indonesia, Garin Nugroho, Aach...Aku Jatuh Cinta (AAJC), membuka peluang lebih besar untuk aktor yang menetap di Jakarta itu mengembangkan bakatnya di sini.

Filem diterbitkan produksi seberang, PT Tripar Multivision Plus (MPV) dengan kerjasama produksi tempatan, FiTA Studios Sdn. Bhd. (syarikat penerbitan dimiliki sepenuhnya UiTM Holdings Sdn. Bhd.) akan ditayangkan di sini awal bulan depan.

Chicco bergandingan dengan seorang lagi bintang semakin mencipta nama di seberang, Pevita Pearce dan mereka dijadualkan datang ke Kuala Lumpur bagi mengikuti sesi promosi filem itu di sini, esok.

Ditemui di majlis prebiu AAJC di Jakarta baru-baru ini, Chicco menerima tawaran membintangi filem terbaru arahan Garin semata-mata kerana mahu bekerja dengan pengarah tersohor itu. Apatah lagi ini karya terbaharunya untuk filem cinta selepas 25 tahun.

“Kebanyakan filem dihasilkan Garin mendapat pujian pengkritik dan ia turut mendapat sambutan mengalakkan setiap kali ditayangkan di festival filem di seluruh dunia.

“Seperti filem AAJC, ia sudah ditayangkan di Festival Filem Busan, Korea dan Film Festival Rotterdam di Belanda. Sebagai pelakon, saya benar-benar rasa bertuah dan terhutang budi kepada Garin kerana memberikan peluang ini kepada saya,” katanya.

Katanya, boleh dikatakan hampir semua pelakon muda sebayanya mahu bekerja dengan Garin tetapi rezeki memihak kepadanya dan ditawarkan bekerja untuk membintangi AAJC.

“Saya memang mengagumi hasil kerja Garin sejak dulu, malah sewaktu saya remaja lagi. Saya tahu karya dihasilkan bukan filem biasa. Apabila saya bekerja dengannya, saya yakin akan dapat mempelajari sesuatu.

“Namun, bekerja dengan Garin banyak cabaran besar yang harus saya lalui,” katanya.

Antara paling mencabar bagi Chicco apabila Garin hanya menyatakan kepadanya mengenai senario dalam babak tetapi tidak memberikan dialog.

“Hakikatnya, mereka yang menonton AAJC tahu dialog yang diungkapkan berupa ayat-ayat puitis. Ia harus saya lakukan secara spontan. Ia paling mencabar kemampuan saya sebagai pelakon,” katanya mengenai AAJC yang ditayangkan di Indonesia pada 4 Februari lalu.

Chicco juga bertuah kerana digandingkan dengan Pevita yang memang mempunyai kelebihan dan pengetahuan dalam penulisan puisi.

“Sebagai rakan pelakon, Pevita banyak membimbing saya. Sebelum penggambaran bermula dan sebaik diberikan senario babak yang mahu dirakam, kami berlatih terlebih dulu lakonan bagaimana mahu dipersembahkan di hadapan kamera dan dialog mahu diucapkan.

“Walaupun sebelum penggambaran dilakukan, kami sudah berlatih selama sebulan tetapi ada ketika perubahan dibuat Garin secara tiba-tiba membuatkan kami harus sentiasa bersedia. Itulah cabarannya apabila bekerja dengan Garin,” katanya.

Kata Chicco, pelakon harus bijak apabila beraksi dalam filem diarahkan Garin. Rakan pelakon juga harus bersikap bersedia dengan apa yang mahu dipersembahkan. Kepercayaan antara satu sama lain sangat penting.

“Perkara itu saya peroleh apabila berganding dengan Pevita. Malah antara kami, apabila beraksi di hadapan kamera, menerusi gerak tubuh saja sudah tahu apa yang harus dilakukan dan dialog apa yang perlu dilontarkan,” katanya.

Filem AAJC mengisahkan persahabatan antara Yulia (Pevita) dengan Rumi (Chicco). Mereka berjiran sejak kecil hingga dewasa. Dalam berkawan rapat dan melalui pelbagai pahit getir hidup, lahir perasaan cinta antara mereka berdua.

Begitupun, sikap Rumi yang bermasalah membuatkan Yulia tidak pasti akan perasaannya terhadap sahabat baiknya. Namun sikap Rumi dalam beberapa perkara membuatkan Yulia sering merindui Rumi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:04 AM