PELAJAR sekolah yang berminat mendalami ilmu melukis kartun.
SIREH memberi penerangan teknik melukis kartun kepada peserta Toon Tuition.
IBU bapa turut memberi galakan kepada anak yang meminati seni lukisan.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Melukis kartun bukanlah bidang yang tidak mempunyai masa depan seperti yang dianggap segelintir pihak. Malah seni lukis kartun dikatakan mula diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 30an.

Pada masa itu, kartun banyak disiarkan dalam akhbar sebelum diterbitkan di majalah dan ada juga yang dibukukan. Seiring peredaran masa, kini kartun di negara ini banyak diterbitkan dalam animasi televisyen dan filem serta novel grafik dengan meluas.

Bagi memupuk minat dan mengasah bakat mereka yang ingin mendalami ilmu melukis kartun, kartunis tanah air, Ruslan Ayub atau lebih dikenali dengan nama Taugeh mengasaskan Toon Tuition iaitu kelas teknik kemahiran melukis kartun selama setahun dengan modul karakter, latar belakang, papan cerita, cahaya warna, animasi dan tulisan kreatif.

Menerusi Toon Tuition, mereka yang berminat dalam bidang ini berpeluang belajar melukis kartun bersama barisan kartunis yang sudah 20 tahun bertapak dalam industri kartun dan animasi negara seperti Ujang, Sireh, Nik, Ayie, Lembu Rock dan Along.

Menurut Taugeh, pelajar Toon Tuition di peringkat rendah, menengah mahupun lepasan sekolah diberi pendedahan awal mengenai teknik dan langkah-langkah melukis kartun yang digunakan dalam menghasilkan produk melalui kartun dan animasi.

Katanya, bakat baru dan daya kreatif mereka memerlukan didikan dan pemantauan awal. Malah, melukis juga dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan membabitkan berfikir secara kreatif dan penggunaan imaginasi.

“Kami juga ada kelas untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang lemah dalam akademik sebaliknya lebih cenderung dan berkemahiran dalam bidang lukisan. Ini kerana, kami dapat banyak permintaan daripada ibu bapa yang risau anak mereka kurang cemerlang dalam akademik dan tidak nampak peluang yang ada untuk anak yang suka melukis.

“Segelintir ibu bapa yang mempunyai anak sebegini tidak tahu saluran yang betul untuk menempatkan anak mereka yang berkebolehan dalam bidang lukisan.

“Kami mendapat kerjasama dari KRU Academy dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk membangunkan bakat kreatif pelajar berkenaan dan memastikan peluang lebih cerah dalam bidang ini,” katanya ditemui pada kelas di Galeri Shah Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kartunis Sireh atau Anuar Hassan berkata, tenaga pengajar bertanggungjawab memupuk minat dan memberi galakan kepada pelajar untuk melukis sebelum bakat mereka diasah dan dibimbing bagi mengenal sesuatu bidang itu terlebih dulu paling utama.

“Pada peringkat umur pelajar berusia bawah 12 tahun amat penting untuk mereka memahami bila mereka sudah tahu cenderungnya di mana dan minat itu ada barulah bakat mereka dibimbing untuk pergi lebih jauh.

“Pendidikan seni ini sangat bermanfaat, apatah lagi buat kanak-kanak kerana mereka suka kreativiti. Kartun secara visual juga terbukti berkesan dalam pembelajaran kanak-kanak kerana ia mampu menarik perhatian dengan watak tertentu,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Muhammad Amir Iskandar Mohd Rosli, 15, berkata dia mengikuti kelas Toon Tuition kerana mahu meningkatkan kemahiran melukis, manakala rakannya, Muhammad Ammar Syakirin Munzapar, 15, pula mahu mendalami pelbagai cabang lukisan kerana sebelum ini lebih banyak terdedah kepada grafiti.

Seorang lagi rakan mereka, Mohamad Fitri Mohamed, 15, berkata kelas berkenaan membantunya dalam pelbagai teknik asas melukis dan bagaimana berkarya dengan lebih kreatif.

“Sebelum ini saya fikir melukis kartun itu susah, tetapi selepas mengikuti kelas ia sebenarnya mudah. Banyak teknik saya pelajari dan kartun juga bukan sekadar lukisan kerana ia juga medium penyampai maklumat mengenai isu semasa dalam masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:02 AM