NISSAN NP300 Navara (kiri) dan Mitsubishi Triton VGT Adventure.
PANJANG keseluruhan Navara 5,255 milimeter (mm) dan Triton 5,280 mm.
RUANG kargo Mitsubishi Triton lebih luas.
RUANG dalaman kemas dengan dua zon penyaman udara.
RUANG kargo Nissan NP300 Navara sesuai untuk membawa muatan bersaiz sederhana.
KEMASAN dalaman selesa dengan paparan meter bergaya.
Oleh Erywan Norshal dan Lizam Ridzuan
erywan@hmetro.com.my

, lizam@hmetro.com.my

Segmen trak pikap alaf baru ketika ini tidak sahaja sesuai dipandu di pelbagai permukaan jalan tetapi yang pentingnya adalah lebih praktikal.

Tidak seperti trak pikap konvensional sebelum ini, di mana ia hanya difokuskan untuk kegunaan lasak yang tiada ciri keselesaan diambil berat terutama kepada penumpangnya.

Keluhan itu menjadi elemen penting kepada pengeluar automotif sebagai ciri asas untuk mengubah segmen trak pikap supaya lebih mesra pengguna.

Seperti model Nissan NP300 Navara yang menggunakan suspensi belakang jenis multi-link bagi memberi pengalaman pemanduan dan pengendalian selesa seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Suspensi itu harus diberikan pujian kerana sepanjang menguji jentera itu, ia tidak terlalu keras yang boleh menyeksakan penumpang sekiranya meredah laluan lasak.

Ruang kabin trak pikap generasi ketiga itu juga seakan-akan sebuah SUV apabila tampak selesa dan mewah yang boleh didapati pada model premium Nissan lain.

Tempat duduk diinspirasikan daripada graviti sifar yang pertama dalam kelasnya ternyata memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan.

Malah, kesengsaraan penumpang belakang bukan menjadi masalah bagi Nissan NP300 Navara. Ini kerana sudut menyandar ditambah baik bersama corong penyaman udara bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang masa.

Ruang kokpitnya pula membolehkan pemandu melihat paparan maklumat kenderaan dengan skrin warna ‘Advanced Drive Assist Display’ (ADAD).

Sementara stereng yang sporty bersama butang kawalan memudahkan pemandu mengakses terus sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja.

Cuma penulis rasakan, enjin 2.5L YD25DDTi generasi ketiga dengan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) yang dibekalkan terasa sedikit kurang responsif sekiranya menekan padel minyak secara agresif.

Bagaimanapun, ia masih lagi bertenaga sebaik sahaja sistem turbo yang dibekalkan menyalurkan kuasa secara maksimum dan ia mampu memecut melebihi 160 kilometer sejam (km/j) tanpa masalah.

Bagi mereka yang gemar melayan selekoh pada kelajuan tinggi, sememangnya jentera ini tidak sesuai dengan keadaan itu kerana ia rasa sedikit membuang.

Rekaannya, ternyata ia lebih gah dan garang berbanding model sebelumnya yang menerima perubahan imej luaran dengan warisan reka bentuk Nissan. Ia juga tampak menyerlah dengan padanan spoiler belakang yang baharu untuk meningkatkan aspek aerodinamik.

Sementara itu, Mitsubishi Triton VGT Adventure tidak kurang hebatnya terutamanya pada ruang kokpit.

Penulis berasakan seolah-olah berada dalam kereta sedan atau SUV kerana terlihat ‘kelibat’ pedal berada di belakang stereng untuk penukaran gear secara manual, biarpun model pandu uji ini adalah varian automatik.

Ternyata ciri-ciri trak pikap ‘sebenar’ tidak ada pada model ini selepas digabungkan teknologi moden untuk mengikuti peredaran semasa dunia automotif global.

Bagaimanapun, ciri moden itulah memberi nafas baru dan menjadi model pertama dalam kategori trak pikap dilengkapi teknologi butang penghidup enjin serta stereng teleskopik.

Dari segi reka bentuknya, penulis mengakui ia menampilkan imej moden tanpa mengorbankan ciri maskulin yang ada pada sebuah pikap trak.

Bagi mengekalkan keselesaan ruang kabin belakang, reka bentuk berkonsep ‘J-Line’ masih dikekalkan dan dikatakan yang pertama dicipta bagi trak pikap pada peringkat global.

Sebenarnya, konsep ‘J-Line’ yang boleh dilihat antara kabin dan ruang penyimpan barang belakang banyak memberi manfaat terutama kepada penumpang belakang.

Kabin berkonsep ‘J-Line’ ini juga adalah jalan penyelesaian supaya tempat duduk belakang sedikit condong untuk mengurangkan sakit belakang ketika pemanduan jarak jauh.

Padanan enjin 2.5 liter VGT dengan 178 kuasa kuda serta tork setinggi 400Nm memberi bekalan tenaga mencukupi ketika memecut di lebuh raya.

Setakat memandu 160 kilometer sejam (km/j), tiada masalah bagi jentera ini dan ia juga boleh memecut melebihi kelajuan itu.

Sistem suspensinya juga ‘bermain’ dengan baik untuk keselesaan penumpang belakang, selain kedapan kabinnya dianggap bagus kerana bunyi bising daripada enjin diesel kurang kedengaran.

Secara keseluruhan, Mitsubishi Triton VGT Adventure memberi pakej lengkap bagi sebuah kenderaan untuk kegunaan dalam bandar serta kawasan pedalaman bagi memenuhi aktiviti hujung minggu.

Kesimpulan yang boleh dibuat, kedua-dua trak pikap itu mempunyai kelebihan tersendiri. Cuma yang penting, kedua-dua model berkenaan adalah praktikal untuk pemanduan di bandar atau di laluan lasak.

INFO

MITSUBISHI TRITON VGT ADVENTURE

- ENJIN: 2.5L DOHC 16V DI-D Common Rail VGT Intercooler

- KUASA MAKSIMUM: 178 PS pada 4,000 RPM

- TORK MAKSIMUM: 400 Nm pada 2,000 RPM

- TRANSMISI: Automatik lima kelajuan

- HARGA:RM115,836.10 tidak termasuk insurans

NISSAN NP300 NAVARA 2.5V AT

- ENJIN: 2,488cc DOHC 16 injap dengan VGS

- KUASA MAKSIMUM: 163PS @ 3,600rpm

- TORK MAKSIMUM: 403Nm @ 2,000rpm

- TRANSMISI: Automatik tujuh kelajuan dengan mod manual

- HARGA: RM109,800 tidak termasuk insurans

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:02 AM