BEBERAPA peserta melepaskan penat berkayuh seketika sebelum ke Sungai Judah.
DR Sudin (kanan) mengetuai kayuhan.
PESERTA merakamkan gambar kenangan bersama-sama.
TARIAN masyarakat Orang Asli menyambut kedatangan peserta.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Berkayuh sejauh 30 kilometer semata-mata untuk menyantuni masyarakat Orang Asli di perkampungan Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini memberikan pengalaman berharga buat 70 peserta Kayuhan Prihatin Wakaf dalam mengenal erti makna sebenar beriadah.

Biarpun penat mengerah kudrat berkayuh di bawah terik mentari, pengalaman mendekati masyarakat peribumi ini memberikan pengalaman manis terutama apabila kehadiran mereka disambut baik masyarakat di sana.

Hilang segala penat lelah berkayuh apabila senyuman penduduk terukir di bibir berselang seli dengan ucapan ‘selamat datang’ serta ‘jemput duduk’.

Malah, terbit perasaan seronok dan gembira di hati apabila masyarakat peribumi ini mengucapkan terima kasih berkali-kali atas kesudian mereka datang dan memberikan sumbangan.

Itu secebis pengalaman manis ditimba peserta Kayuhan Prihatin Wakaf diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWM Datuk Prof Dr Sudin Haron yang berkayuh bermula jam 8.30 pagi di Masjid At-Taqwa, Banting ke Sungai Judah.

Kayuhan berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti sempena Majlis Sumbangan Mesra anjuran Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Majlis yang ditaja oleh CIMB Islamic Berhad dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini adalah satu aktiviti di bawah Program Pembudayaan Wakaf YWM, bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan.

Fokus utama program ini adalah dengan memberi tumpuan kepada golongan kesempitan hidup di kawasan bandar serta Orang Asli.

Menurut Dr Sudin, sebanyak 15 program seumpama itu dilaksanakan pada tahun sebelumnya (2015) dan memberi manfaat kepada 1,176 ketua isi rumah.

Katanya, sengaja pihaknya memilih aktiviti berbasikal berikutan jumlah penyertaannya tidak terhad dan ia antara aktiviti sukan serta riadah paling popular pada masa kini.

“Program basikal ini lebih mudah untuk dijalankan dan pada masa yang sama ia mempromosikan program wakaf YWM.

“Peserta yang menyertai program barbasikal ini juga dikenali sebagai Hulubalang Wakaf berikutan ia antara cara kita untuk menyebarkan dakwah,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu juga akan lebih kerap diadakan di negeri lain disamping bagi menguar-uarkan kewujudan YWM kepada masyarakat selaku entiti wakaf peringkat kebangsaan yang berkebajikan.

“Program Kayuhan Prihatin antara kaedah yang kita terapkan untuk mempromosi wakaf menerusi aktiviti sukan.

“Peserta tidak saja dapat beriadah secara sihat, sebaliknya dalam aspek kerohanian pula mereka dapat mengeratkan silaturahim serta menyebarkan dakwah Islam,” katanya.

Dalam kayuhan berkenaan, seramai 125 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli Sungai Judah menerima sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, gula, garam dan makanan kering.

Menerusi program ini, peserta termasuk orang ramai boleh melaksanakan sumbangan wakaf bagi keperluan golongan miskin yang memerlukan. Malah, individu yang ingin mewakafkan sumbangan boleh turut menyertai aktiviti berkenaan termasuk aktiviti berbasikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:02 AM