BAYI juga tidak terlepas daripada SD.
RADANG kulit SD pada muka, kulit kepala dan telinga boleh dilihat dengan tanda kering berkerak, kemerahan-merahan dan gatal.
RADANG kulit SD pada muka, kulit kepala dan telinga boleh dilihat dengan tanda kering berkerak, kemerahan-merahan dan gatal.
RADANG kulit SD pada muka, kulit kepala dan telinga boleh dilihat dengan tanda kering berkerak, kemerahan-merahan dan gatal.
(DARI kiri) Dr Micali, Dr Foong dan Dr Steven pada majlis pelancaran rawatan baru krim SD.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Kulit bersisik, kemerah-merahan dan gatal di kulit kepala, muka dan dada adalah tanda biasa bagi penyakit radang kulit dikenali sebagai seborrheic dermatitis (SD) yang menyerang di bahagian tubuh yang ada kelenjar sebum paling aktif dan berkepadatan tinggi.

Penyakit kulit ini tidak boleh sembuh kerana gejalanya berulang-ulang apabila ia boleh muncul dengan keadaan yang teruk kemudian berkurangan sebelum menyerang lagi. Namun, gejala kulit yang meradang ini boleh dirawat bagi mengurangkan ketidakselesaan.

SD juga tidak mengancam kesihatan penghidapnya, tidak berjangkit dan komplikasinya juga sangat jarang. Namun begitu, masalah kulit ini memberikan impak terhadap kualiti kehidupan peng­hidap termasuk menjejaskan kesejahteraan emosi kerana gejala juga menyebabkan penghidap me­ngalami tekanan psikologi, kurang keyakinan diri dan malu.

Perunding Pakar Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Noor Zalmy Azizan berkata, punca radang kulit ini masih tidak jelas dan dikatakan pengaruh hormon dan genetik memain peranan dalam masalah ini. Namun, kajian baru-baru ini mengenal pasti tiga pe­nyumbang paling mungkin pada SD.

“SD mungkin terjadi akibat pengeluaran minyak berlebihan disebabkan aktiviti sebum yang meningkat dan gejala diburukkan lagi dengan kehadiran yis dikenali Malassezia iaitu fungus halus yang hidup secara semula jadi pada kulit serta faktor imunologi.

“Bagaimanapun, ada beberapa faktor lain yang memburukkan lagi masalah kulit atau pencetus kemunculan gejala seperti tekanan atau keletihan, perubahan suhu atau musim, persekitaran yang lembap, berhawa dingin atau kering, menukar pemakaian produk penjagaan dan kosmetik, perubahan tabiat makan, jangkitan dan perubatan.

“Ada juga bukti kajian yang menunjukkan kaitan di antara SD dan gangguan neurologi, kekurangan nutrisi, kekurangan enzim, kekurangan imun dengan tahap insiden SD,” katanya ketika ditemui pada Forum Penjagaan Kulit Utama 2016: Horizon Baru Dalam Pengurusan Penyakit Kulit Kronik di ibu negara, baru-baru ini.

Forum ini anjuran syarikat farmaseutikal, Menarini, yang membincangkan cabaran baru dalam menangani penyakit kulit yang biasa dihidap seperti ekzema dan akne serta rawatan terbaru untuk penyakit terbabit. Syarikat berkenaan juga melancarkan krim baru untuk rawatan SD iaitu Sebclair.

Turut hadir, Pengurus Kawasan Terapeutik Serantau Menarini Asia Pasifik, Dr Steven Januar Kusmanto dan Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), Dr Henry Foong Boon Bee.

SD berlaku pada semua etnik dan dianggarkan satu hingga lima peratus penghidapnya daripada keseluruhan populasi, manakala penghidap adalah mereka yang berumur 30 hingga 60 tahun dan bayi berusia lingkungan tiga bulan. Dalam kalangan dewasa, insiden SD paling menonjol berlaku ketika berusia 40-an dan lebih banyak berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Radang kulit ini juga didapati lebih kerap berlaku dalam kalangan pesakit Parkinson, individu dengan kemurungan dan gangguan neurologi lain serta pesakit HIV atau AIDS yang disebabkan lemah sistem imun.

Dr Noor Zalmy berkata, radang kulit berlaku di kawasan yang terdapat kepekatan tinggi kelenjar sebum aktif dan kelenjar ini kebanyakannya berada di kulit kepala, dahi, lipatan nasolabial (sisi bibir) dan cuping telinga serta muncul seimbang di kedua-dua bahagian (simetri).

Kawasan paling biasa bagi SD adalah 88 peratus di bahagian muka, 70 peratus di kulit kepala, 27 peratus di atas dada dan sembilan peratus di bahagian lain tubuh. Walaupun SD dikaitkan dengan aktiviti sebum, ia bukanlah penyakit akibat kelenjar sebum.

Malassezia yang dikaitkan dengan SD pula bergantung pada minyak yang dirembeskan folikel rambut sebagai makanan dan ini menyebabkan yis terbabit menjadikan kawasan kulit yang banyak kelenjar sebum aktif sebagai koloni. Yis ini juga dikesan pada kulit individu yang tidak menghidap SD tetapi kadarnya lebih tinggi pada mereka yang menghidap SD.

Yis ini juga dikatakan boleh menyebabkan reaksi imun yang mengakibatkan pengeluaran sel imun berlebihan dan berlakunya tindak balas keradangan.

“Di bahagian muka, SD lebih tertumpu muncul di kening, kelopak mata dan nasolabial. Radang kulit berbentuk sisik kering dan berminyak di kedutan kulit dan bahagian yang berambut. Ada juga yang terjadi di lubang telinga dan cuping, bahagian atas dada hingga ke bahu dengan tompokan kemerahan dan bersisik.

“SD di kulit kepala bermula dengan sisik berminyak, tompokan merah dan berkeruping. Kepingan keruping ini kecil, kering dan berwarna putih dan mudah rapuh serta tertanggal. Jika tahap SD teruk, kepingan keruping lebih tebal dan kawasan kulit kepala yang terjejas juga lebih luas.

“Tanda-tanda SD mudah dilihat seperti kulit mengelupas, kering, berkerak, radang kemerahan atau coklat seakan lebam, gatal-gatal,” katanya .

Sementara itu, Ketua Jabatan Dermatologi Universiti Catania (Itali), Profesor Dr Giuseppe Micali berkata, walaupun ada banyak rawatan untuk SD, rawatan ini hanya untuk mengawal tanda-tanda dan gejala yang timbul kerana penyakit kulit ini tiada penawarnya.

Rawatan sedia ada membabitkan penggunaan agen antiradang untuk kulit yang mengalami iritasi, antifungus untuk mengurangkan pertumbuhan yis dan keratolytics iaitu agen pengelupasan yang menangani sebahagian gejala SD.

“Beberapa faktor diambil kira dalam rawatan SD seperti tahap penyakit berikutan setiap penghidap mengalami gejala berbeza kerana ada yang ringan dan boleh dirawat dengan ubatan tanpa preskripsi, tetapi mereka yang mengalami gejala teruk memerlukan rawatan agresif.

“Keutamaan rawatan juga dipertimbangkan kerana kira-kira 95 peratus penghidap sudah mencuba pelbagai jenis rawatan sama ada dengan preskripsi doktor atau pembelian di kaunter. Formulasi rawatan juga berbeza seperti syampu, minyak sapu, krim, losyen, sabun mandian, gel atau buih pencuci bergantung pada kawasan kulit yang terjejas.

“Begitu juga faktor umur, kerana ada bahan kandungan dalam rawatan tidak boleh digunakan ke atas penghidap bayi, manakala bahan seperti kortikosteroid topikal untuk penghidap dewasa dalam jumlah yang dibenarkan dan dalam tempoh singkat,” katanya.

Dr Micali berkata, krim Sebclair adalah preskripsi tanpa steroid untuk mengawal dan melegakan tanda-tanda dan gejala SD yang lebih berkesan berbanding penggunaan krim 0.05 peratus desonide. Krim Sebclair juga boleh diguna oleh semua peringkat umur, dalam tempoh lebih lama dan di mana-mana kawasan SD.

“Kaji selidik penggunaan krim untuk rawatan dijalankan terhadap 77 orang penghidap SD di muka dalam tempoh 28 hari. Dalam kaji selidik ini, seramai 38 orang menggunakan Sebclair manakala 39 orang menggunakan krim 0.05 peratus desonide.

“Setiap orang menyapu krim yang diberi sebanyak dua kali sehari dan hasilnya, mereka yang menggunakan Sebclair menunjukkan pemulihan gejala pada hari ke-14 dan gejala kekal tidak terbit semula hingga hari ke-28. Malah, pertumbuhan yis Malassezia juga didapati berkurangan dengan penggunaan krim Sebclair,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:01 AM