Oleh Dang Setia

Saya anak tunggal dalam keluarga dan sudah berumur 26 tahun. Ibu bapa saya tiada masalah mengahwinkan saya dengan lelaki pilihan tetapi bersyarat. Mereka mahu sebaik berkahwin kelak, kami tinggal bersama mereka.

Syarat itu tidaklah sukar bagi saya tetapi untuk kekasih, ia sangat berat. Dia lebih suka kalau kami tinggal berasingan dan mempunyai kehidupan sendiri tanpa membabitkan orang tua.

Saya di persimpangan dilema mengenai perancangan untuk berkahwin apabila baik orang tua mahupun teman lelaki enggan bertoleransi dalam isu terbabit.

ITA, Kajang

Situasi saudari ibarat ‘ditelan mati mak diluah mati bapak’. Ingin menyebelahi mana-mana pihak itu hanya memburukkan keadaan.

Sebaik-baiknya saudari bincang hal berkenaan secara terbuka. Cari waktu sesuai dan temukan mereka agar baik teman lelaki mahupun orang tua dapat bincang secara telus.

Apabila masing-masing tidak mahu ‘mengendur’ mahupun mengundur setapak, bagi Dang Setia terbaik ialah biar mereka berunding secara langsung.

Mereka dapat suarakan rasa hati secara berdepan termasuk hal menjadi kebimbangan mereka apabila saudari serta pasangan berkahwin kelak. Mainkan peranan saudari selaku orang tengah untuk menjaga hubungan ibu bapa saudari kekal harmoni dengan bakal suami.

Mereka perlu mempertimbangkan juga perasaan saudari selaku orang penting dalam isu berkenaan. Mereka tidak boleh pentingkan diri sebaliknya memikirkan kesan terhadap masa depan saudari.

Pasangan saudari juga seharusnya bersikap matang dan sedia memahami kedudukan saudari selaku anak tunggal dalam keluarga.

Apa salahnya jika tinggal bersama keluarga saudari untuk seketika serta merapatkan hubungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 12:59 AM