FOTO Muhaizan Yahaya
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my

Ipoh: Peserta Selangor menguasai hampir semua kategori Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-37 di Pusat Konvesyen Amanjaya, di sini, malam tadi.

Pengumuman pemenang dilakukan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustafa.

Johan hafazan kategori 1-10 Juzuk dimenangi Ahmad Aidil Luqman Nor Ismal dari Selangor dengan 98.34 peratus manakala kategori wanita dimenangi Fakhira Izzah Fahmi (Selangor) dengan 97.49 peratus.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan kedua-dua mereka membawa pulang RM4,000 tunai, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.

Johan hafazan kategori 1 hingga 20 juzuk pula dimenangi oleh Syazri Muhammad Husni Mohd Sharoni, juga dari Selangor dengan 99.18 peratus.

Hafizah pula dimenangi oleh Putri Aminah Mohd Hanif dari Kelantan dengan 98.40 peratus dan membawa pulang hadiah pakej menunaikan umrah, RM6,000, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.

Bagi kategori 1 hingga 30 juzuk dimenangi Mohamad Omar Mansur dari Selangor dengan 96.95 peratus.

Hafizah pula dimenangi oleh Farihah Zulkifli dari Wilayah Persekutuan dengan 96.84 peratus dan menerima hadiah pakej menunaikan haji, RM10, 000 dan piala iringan.

Hadiah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tunku Zara Salim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 11:51 PM