PATRICK (kiri) menjaringkan gol pertama Selangor.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

Seremban: Selangor FC tidak berdepan masalah mara ke pusingan ketiga Piala FA apabila menumpaskan pasukan Liga FAM Air-Asia 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan disaksikan kira-kira 2,500 penyokong kedua-dua pasukan, Selangor terpaksa menunggu hingga minit ke-68 untuk menjaringkan gol menerusi penyerang import, Patrick Ronaldinho.

Bermula sepak mula, kedua-dua pasukan bijak mengawal perlawanan dan mengatur gerakan bagi menjaringkan gol.

Pemain tengah Selangor Hafiz Kamal berpeluang menghasilkan gol pada minit ke-14 tetapi sepakan lencong dari luar kotak penalti sedikit melewati palang.

Bagaimanapun perlawanan ditunjukkan kedua-dua pasukan nampak seimbang dengan masing-masing menggandakan serangan namun gagal menghasilkan sesuatu.

Pasukan tuan rumah Air-
Asia berpeluang menghasilkan gol pertama pada minit ke-35 namun tandukan Zamri Hassan tersasar ke kiri pintu gol.

Patrick pada minit ke-38 menerima hantaran cantik tengah padang oleh Hafiz dan berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan kerana ofsaid.

Sehingga tamat separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Masuk babak kedua, Selangor dilihat mengubah strategi permainan dan lebih banyak menguasai perlawanan.

Hasilnya pada minit ke-68, Patrick menghasilkan gol pertama pasukan pelawat menerusi tandukan selepas menerima hantaran silang dari kanan padang oleh pemain lincah, Andik Vermanshah.

Selang lapan minit kemudian, seorang lagi pemain The Red Giants Abdul Hadi Yahaya menghasilkan gol kedua selepas pertahanan lawan gagal mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:10 AM