AMAN.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Jika sebelum ini, nama Aman Nassim dikenali menerusi lakonannya dalam beberapa drama antaranya Tanah Kubur, Jauh Dari Cinta dan Sebenarnya Aku Isteri Dia, kini anak muda ini melebarkan sayapnya sebagai penyanyi serta komposer.

Percubaannya menerusi single pertama Setia nampaknya kurang berhasil apabila tidak mendapat tempat di hati peminat.

Bagaimanapun, anak jati Johor Bahru ini tidak pernah kenal erti putus asa malah muncul dengan single kedua berjudul Cinta Pura-Pura.

“Lagu ini saya cipta sendiri manakala liriknya oleh Airine Airina.

“Ia ambil masa enam bulan untuk dihasilkan. Cinta Pura-pura mengisahkan pasangan suami isteri yang sudah hilang rasa cinta antara satu sama lain,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai buah tangan pertama ciptaannya itu, Aman mengakui belum berpuas hati.

“Walaupun pendengar memberi maklum balas positif, saya belum berpuas hati dengan karya ini.

“Jika mahu pergi jauh dalam bidang ini, banyak lagi yang perlu saya belajar. Berbanding karya terdahulu, muzik Cinta Pura-Pura lebih matang begitu juga dengan vokal saya,” katanya seraya memaklumkan lagu berkenaan hangat diputarkan di Prebiu Era di Era FM, Muzik FM, THR dan Best FM.

Teringin berkolaborasi

Dalam diam, anak muda ini menyimpan hasrat berkolaborasi dengan penyanyi terkenal, Faizal Tahir.

“Bagi saya, Faizal Tahir pemuzik hebat yang menghasilkan karya unik. Apa yang dipersembahkan kepada peminat adalah luar biasa.

“Kalau penyanyi perempuan pula, saya teringin berduet dengan Dayang Nurfaizah kerana vokalnya yang memukau,” katanya.

Ditanya mengenai lakonan, Aman memaklumkan masih aktif menerima tawaran.

“Saya baru sahaja selesai penggambaran telefilem Pelarian ke Doga bersama Syazwan Zulkifli dan Anis Al Idrus.

“Ada juga beberapa tawaran terpaksa saya tolak kerana jadual bertembung dengan undangan menyanyi,” katanya memaklumkan Cinta Pura-pura boleh dimuat turun di iTunes, Kkbox dan Spotify,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:02 AM