Ong (tengah) bersama Chirathivat (kiri) dam Lim (kanan) melihat model Pusat Beli-belah Central i-City, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Shah Alam: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyokong projek usaha sama tempatan dan antarabangsa yang mampu memberi manfaat serta menarik pelaburan, selain menjana perdagangan asing ke negara ini.

Menteri Keduanya, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kerajaan akan memberi bantuan kepada projek terbabit jika ia mengalami kesukaran bagi memastikan ia dilaksanakan, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur luar.

“Pelaburan asing akan meningkatkan lagi potensi negara dalam pelbagai bidang industri. Kerjasama antara Central Pattana Public Co Ltd (Central Pattana) serta I-Berhad menjadi bukti keyakinan negara luar terhadap ekonomi negara,” katanya selepas majlis pecah tanah pusat beli-belah Central i-City di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Datuk Lim Kim Hong, Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew dan Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan dan Projek Pembinaan Central Pattana, Wallaya Chirathivat.

Projek pusat beli-belah Central i-City adalah usahasama antara Central Pattana, Thailand yang memiliki pegangan 60 peratus manakala baki dipegang I-Berhad dengan pelaburan keseluruhan RM850 juta.

Ia dijangka mula beroperasi pada 2018 dan projek sebahagian portfolio pelaburan hartanah I-Berhad berjumlah RM1 bilion merangkumi 40 peratus pegangan dalam pusat beli-belah, pusat data, parkir dan pejabat.

Beliau berkata, projek itu diharap menjana ekonomi negara daripada aspek kunjungan pelancong dari luar negara terutama Thailand, menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan aktiviti perdagangan.

“Pelaburan ini dialu-alukan kerana ia membolehkan kemudahan di kawasan projek dipertingkatkan kerana wujud insentif membina lebuhraya, menyediakan pengangkutan dan infrastruktur lain, sekali gus menarik kunjungan serta pelaburan ke negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:37 AM