Oleh Muhamaad Razis Ismail
am@hmetro.com.my


Kuala Krai: Sepasang suami isteri kerugian RM10,000 selepas barang kemas dan telefon bimbit disamun tiga lelaki di Taman Warisan Bukit Sireh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Rahim Che Ghani berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, suri rumah berusia 61 tahun dan suaminya berusia 52 tahun turut cedera ringan di muka dan badan dipukul suspek.

Katanya, sebelum itu suspek sempat bergelut dengan mangsa sebelum seorang lagi suspek mengeluarkan senjata menyerupai pistol.

"Suspek kemudian merentap dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan mengambil dua telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi hitam.

"Anggaran kerugian RM10,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 1:18 PM