Susunan Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Kira-kira 16 tahun dulu, mereka bukanlah teman rapat sebaliknya hanya mengenali antara satu sama lain sebagai rakan sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sung Siew, Sandakan, Sabah.

Pasangan ini tidak menyangka selepas 15 tahun terputus hubungan, aplikasi media sosial WhatsApp menemukan mereka, sekali gus membina ikatan sebagai pasangan suami isteri.

Rohani Holim dan Chung Yuk Ting atau nama Islamnya, Mohd Firdaus Chung, masing-masing berusia 28 tahun, mengikat tali pertunangan pada 30 April 2015 dan diijabkabulkan pada 19 Julai tahun yang sama di Sandakan, Sabah.

Rohani mengakui pada awal pertemuan dia berasa agak kekok. Namun, dia cuba membuka hatinya untuk terus mengenali Chung dengan lebih mendalam.

“Pada awalnya, kami bertemu semula dalam kumpulan mesej yang saya kendalikan sebagai ‘group admin’. Seorang kenalan sekolah memberi nombor Chung untuk saya masukkan ke dalam senarai rakan dalam SK Sung Siew 1995.

“Sejak itu, kami mula berbual hinggakan satu hari saya menghantar mesej peribadi kepada Chung hanya untuk suka-suka.

“Tanpa di sangka ia menjadi permulaan kepada kami untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat dan menjalin hubungan yang serius,” katanya.

Memilih tema persandingan masyarakat Cina dan Melayu, Rohani akui hanya menjalin hubungan cinta dalam tempoh singkat bersama Chung sebelum memutuskan untuk bertunang.

Walaupun tempoh perkenalan hanya dua bulan saja, kedua-duanya yakin dengan hubungan cinta yang dibina hingga membawa ke jenjang pelamin.

Selepas mendapat restu daripada kedua-dua pihak keluarga, pasangan ini tidak mahu melengahkan masa, sekali gus membuat persiapan perkahwinan.

“Cabaran terpaksa berurusan daripada jauh kerana pada saat akhir persiapan, suami saya mendapat arahan bertukar tempat tugasan ke ke Beluran. Ketika itu, saya pula masih bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Kekangan masa dan terpaksa berjauhan disebabkan tugasan masing-masing menyebabkan pasangan sama cantik sama padan ini mengangguhkan bulan madu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 8:23 AM