ABDUL Rasid menghasilkan lukisan genre realisme dengan memaparkan keindahan Pantai Kijal, Terengganu.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Pameran Gema Hati 3 sekali lagi menampilkan hasil karya enam pelukis yang cukup dikenali menerusi pameran terbaru mereka, Gema Karya yang menggabungkan pelbagai genre karya lukisan.

Barisan artis terbabit rata-ratanya ahli Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS) yang ditunjangi Abdul Rasid Yusof, Mazlan Noor, Ahmad Fauzi Arshad, Amir Awang, Ismail Baba dan Dr Sabzali Musa Khan.

Gema Karya menampilkan genre realisme, semi realisme, abstrak, moden, impresionis, naif dan kaligrafi yang pastinya membuatkan penonton teruja dengan pelbagai hasil kerja seni.

Sudah tentu penonton diajak untuk menghayati perasaan hati, nukilan jiwa, coretan naluri, intuisi dan ekspresi serta ilustrasi yang tersembunyi berkaitan alam semula jadi yang ingin disampaikan pengkarya.

Pelukis turut mengambil peluang melakarkan subjek seperti kemanusiaan dan kejadian alam selain memaparkan kebesaran Tuhan dalam penghasilan seni mereka.

“Kewujudan alam dan manusia adalah sumber yang berkait rapat dan sangat penting dalam memahami erti kehidupan.

“Justeru, ia dianggap cetusan pelukis terhadap alam serta melepaskan perasaan tersurat dan tersirat yang diekspresikan di atas kanvas untuk dihayati khalayak,” kata Mazlan.

Lebih 60 lukisan dipamerkan di Creative Space, Bangunan Pentadbiran Lembaga Pembangunan Seni Visual, Balai Seni Visual Negara bermula 13 Februari hingga 28 Februari ini.

Kebanyakan karya dihasilkan menggunakan medium seperti akrilik dan cat minyak di atas kanvas serta campuran media.

Orang ramai dijemput hadir untuk menghayati keindahan lukisan yang dihasilkan enam pelukis berkenaan bermula 10 pagi hingga 6 petang setiap hari dan masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 8:01 AM