DAISY Ridley dalam Star Wars: The Force Awakens.
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Nampaknya peminat Star Wars tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk menyaksikan sambungan kepada kisah Star Wars: The Force Awakens yang ditayangkan Disember kerana penggambaran filem kelapan sudah pun bermula Isnin lalu.

Lebih mengujakan, tayangan filem baru Star Wars: Episode VIII arahan Rian Johnson dijangka ke pawagam pada Disember tahun depan.

The Force Awakens, menamatkan kisahnya dengan Rey (Daisy Ridley) bertemu Jedi legenda Luke Skywalker, sekali gus meninggalkan 1,001 persoalan kepada penonton.

Penggambaran Episode VIII kini berlangsung di Pinewood Studios, London dan masih mengekalkan barisan pelakon seperti Mark Hamill, Carrie Fisher, Adam Driver, Daisy Ridley dan John Boyega.

Disney turut memperkenalkan barisan pelakon baru Episode VIII iaitu Benicio Del Toro, Laura Dern dan Kelly Marie Tran.

Kini, pelbagai spekulasi dan teori berkenaan nasib watak dalam Star Wars: Episode VIII mula tersebar di Internet selepas klip video pendek produksi filem itu dimuat naik di laman sosial.

Peminat mula berteka-teki jenis watak bakal dibawa pelakon baru, malah ada membuat spekulasi Del Toro mungkin menjadi penjahat Sith.

Selain itu, timbul pula spekulasi Rey mungkin menerima pedang Lightsaber lengkap dengan dua pedang seperti dimiliki Darth Maul.

Ini berikutan klip video pembantu aksi Ridley, Chloe Bruce menunjukkan aksi bertarung menggunakan batang besi panjang dimuat naik di YouTube pada November lalu.

Sudah tentu produksi Star Wars mengunci mulut mereka daripada mendedahkan maklumat tambahan mengenai filem epik ciptaan George Lucas itu.

Namun, sebelum tayangan Episode VIII, peminat boleh menyaksikan ‘spin off’ filem Star Wars: Rogue One pada Disember ini.

Kisah Rogue One berlaku sebelum kejadian dalam filem Star Wars Episode IV: A New Hope pada 1977 dan menceritakan misi sepasukan perisik Rebel yang ditugaskan untuk mencuri pelan senjata baru Death Star.

Filem itu dibintangi Felicity Jones, Diego Luna, Riz Ahmed, Ben Mendelsohn, Donnie Yen, Jiang Wen, Forest Whitaker, Mads Mikkelsen dan Alan Tudyk.

Sementara itu, Disney juga bakal menerbitkan filem ke­sembilan iaitu Star Wars: Episode IX yang dijangka menemui penonton pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 5:07 AM