Oleh Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Tawau: Seorang lelaki hilang manakala lapan lagi diselamatkan selepas feri penumpang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot kargo di perairan Simpang Tiga, Tawau, jam 6.30 petang semalam.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai An Zulkarnain Als Zoel dan operasi mencari dan menyelamatkan sedang giat dijalankan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Tawau dan beberapa agensi yang berkaitan.

Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Tawau Kepten Maritim Anor Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pelanggaran antara sebuah feri penumpang dengan bot karga di perairan Simpang Tiga pada jam 11.45 malam tadi.

"Dalam kejadian itu, seramai sembilan orang penumpang feri terjun ke laut untuk selamatkan diri.

"Bagaimanapun semua mangsa berjaya diselamatkan oleh kru feri berkenaan kecuali satu mangsa gagal diselamatkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bot kilat 45 diarah ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang.

Difahamkan, feri itu membawa 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk dihantar pulang ke Nunukan, Indonesia selepas menerima hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 12:53 PM