SELAIN dimakan begitu saja, jusnya juga boleh disapu pada muka untuk melembap dan mencantikkan kulit.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Barangan makanan keperluan seperti rempah, sayur dan buah yang ada di dapur boleh dijadikan bahan kosmetik untuk menjaga kecantikan kulit secara semula jadi sekiranya kita mempunyai pengetahuan mengenainya.

Bukan saja selamat dan tidak mengandungi sebarang bahan kimia beracun, ia juga tidak menelan belanja besar dan boleh dihasilkan di rumah.

Pada masa sama, proses merawat kulit boleh dilakukan sendiri di rumah dalam keadaan selesa tanpa perlu mengejar masa berkunjung ke spa atau mana-mana butik kecantikan, yang sudah pasti akan menelan belanja ratusan ringgit.

Antara bahan makanan yang mempunyai man­faat besar kepada kesihatan dan kecantikan kulit ialah tomato.

Bukan saja sedap dan menjadi antara bahan penting masakan, tomato boleh memberi zat secukupnya kepada kulit dan rambut.

Bagi mereka yang berminat dengan rawatan secara semula jadi yang murah, mudah dan berkesan, berikut disenaraikan kebaikan tomato dan cara menggunakannya untuk menjaga kecantikan kulit.

1. Dimakan begitu saja untuk mendapatkan nutrisinya dan kandungan air yang tinggi bagi me­lembapkan kulit dan sarat dengan mineral, kalsium, vitamin A, vitamin C, flavonoid, vitamin B kompleks, tiamin, folat dan niacin. Bukan saja baik untuk kulit tetapi menjaga kesihatan mata.

2.Kandungan antioksidan seperti lycopene dan zea-xanthin dalam tomato mampu melawan kesan kerosakan sel kulit oleh radikal bebas.

3. Bersifat antikanser dan mengelak reaksi kerosakan akibat pemakanan harian dan pendedahan kepada elemen alam sekitar sehingga merosakkan kesihatan dan menjejaskan penampilan.

4. Ia mampu memulihkan sel dan membina otot memandangkan tomato mempunyai kandungan protein.

5. Merawat liang roma terbuka dengan cara mencampurkan empat sudu jus tomato dengan satu sudu air, sebelum disapu ke seluruh muka menggunakan bola kapas. Biarkan selama 15 minit sebelum dicuci.

6. Menyerikan wajah dengan cara menggosok potongan tomato pada kulit sehingga jus menyerap ke dalam kulit. Ia juga boleh membantu meratakan warna kulit dan menjadikan kulit kelihatan lebih sihat.

7. Biji tomato mempunyai khasiat yang mampu merawat pelbagai masalah kulit. Ia boleh membantu melawan masalah penuaan pramatang dengan cara menyapu tomato kisar ke wajah sebelum tidur dan hanya basuh keesokan ­paginya.

8. Merawat jerawat dan ruam panas. Belah tomato dan sapukan pada wajah ataupun sapukan isi tomato pada wajah dan biarkan kira-kira satu jam. Sapu secara konsisten mampu memberi kesan ketara.

9. Mengawal pengeluaran minyak berlebihan pada wajah. Sebum terlalu banyak boleh menyumbat liang roma, seterusnya menyebabkan jerawat dan parut pada wajah. Tomato membantu mengu­rangkan masalah minyak berlebihan seterusnya kulit lebih licin dan bersih.

10.Tomato bertindak sebagai pelindung matahari semula jadi, sekali gus membantu memberikan wajah lebih muda kepada mereka yang rajin mengamalkannya.

11. Ia juga mengandu­ngi lapisan minyak semula jadi yang boleh digunakan sebagai penyegar semula jadi selepas kulit dicuci bersih.

12.Pengambilan tomato setiap hari mampu melawan kerosakan sel pada tahap selular, seterusnya membantu kulit kelihatan lebih anjal dan kurang garis halus.

13. Menyapu tomato pada kulit membantu mencerahkannya secara semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia berbahaya.

14. Kulit lebih lembut dan bermaya. Cam­puran jus tomato dan madu me­lembapkan kulit dan menjadikannya lebih berseri.

15. Jus tomato juga boleh disapu dan digosok menggunakan tangan dengan cara membulat. Ia dapat menyingkirkan sel kulit mati, seterusnya kulit menjadi lebih gebu dan cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 9:57 AM