IBRAHIMOVIC (kiri) ledak gol pertama PSG.
AFP

Paris: Edinson Cavani tampil dari bangku pemain simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan membantu Paris Saint-Germain mengatasi Chelsea 2-1 pada aksi pertama, pusingan kedua Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Cavani mengatasi kecemerlangan Thibaut Courtois pada minit ke-78 di Parc des Princes, hanya empat minit selepas masuk sebagai pemain gantian, sekali gus memberikan juara Perancis itu kelebihan menjelang aksi kedua pada 9 Mac ini.

Terdahulu Zlatan Ibrahimovic meletakkan Paris di depan dengan sepakan percuma yang tertampan namun John Obi Mikel menyamakan kedudukan buat Chelsea pada masa kecederaan babak pertama.

Kemenangan PSG bermakna mereka hanya kalah sekali di tangan Real Madrid dalam 40 perlawanan musim ini, manakala ia mencetus kekalahan pertama Chelsea sejak Guus Hiddink menggantikan Jose Mourinho yang dipecat Disember lalu.

“Ia perlawanan hebat. Pasukan Chelsea sudah kembali menemui sentuhan sebenar mereka selain berdisiplin sekali gus membantu mereka bertahan dengan baik dan melakukan serangan balas pantas,” kata jurulatih PSG Laurent Blanc.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:26 AM