Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM10.32 bilion bagi tempoh suku ketiga 2014 berakhir 30 September 2014.

Prestasi suku ketiga ini didorong terutamanya daripada pelaburan ekuiti di mana kelas aset ini menyumbang 61 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan suku tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, portfolio ekuiti terus mempamerkan prestasi kukuh untuk dua suku tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, pasaran ekuiti domestik dan global sudah mula menunjukkan tanda-tanda pergerakan tidak menentu, terutamanya FBMKLCI mencapai tahap rendah tahun ini di bawah paras 1,800 mata pada Oktober.

“KWSP menjangka tahun-tahun kewangan akan datang lebih mencabar dan kami akan terus berpegang kepada strategi pelaburan jangka panjang bagi memastikan pulangan benar yang mapan dan stabil untuk ahli KWSP,” katanya.

Pendapatan pelaburan daripada Ekuiti bagi suku ketiga 2014 berjumlah RM6.34 bilion, peningkatan sebanyak RM637.05 juta daripada RM5.71 bilion pada suku ketiga 2013.

Dalam suku tahun dikaji, pelaburan berisiko rendah dan tetap terus menjadi sumber pendapatan stabil kepada pelaburan KWSP. Pinjaman dan Bon menjana pendapatan RM1.71 bilion berbanding RM2.27 bilion pada suku ketiga 2013.

Sebagai dana simpanan persaraan jangka panjang, KWSP mempelbagaikan portfolio pelaburannya dengan melaburkan asetnya menggunakan pendekatan kelas aset pelbagai berpandukan Alokasi Aset Strategik KWSP (SAA).

Setakat 30 September 2014, jumlah aset pelaburan KWSP terus berkembang pada kadar positif, mencatatkan peningkatan sebanyak RM54.74 bilion daripada RM568.04 bilion pada suku ketiga 2013 kepada RM622.78 bilion. KWSP juga melaburkan lebih daripada 40 peratus pelaburannya dalam aset patuh Syariah.

Setakat ini, jumlah pendedahan luar negara KWSP ialah 23 peratus daripada jumlah aset pelaburannya. Daripada jumlah itu, 18 peratus dilaburkan dalam ekuiti global, tiga peratus dalam bon dan bakinya dalam aset benar dan ekuiti persendirian.

Pada masa ini, KWSP mempunyai pelaburan di lebih 30 negara, meliputi pasaran negara maju dan baru muncul.

Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan bagi 14 juta ahli, KWSP mensasarkan sekurang-kurangnya dua peratus pulangan melebihi kadar inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut selaras dengan objektif KWSP untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli.

Menurutnya, KWSP mematuhi SAA yang dirangka mengikut profil risiko-pulangan dan turut mengguna pakai amalan pelaburan beretika dalam semua pelaburannya bagi memastikan pulangan konsisten.

“Mulai tahun depan, KWSP akan mengguna pakai prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), bermula dengan instrumen berpendapatan tetap dan diikuti kelas-kelas aset lain selaras dengan strategi pelaburan yang beretika, bertanggungjawab dan diversifikasi jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:20 AM