U-WEI Saari
MOHD Khusairi (dua dari kiri), Kamil Ahmad (empat dari kanan) dan U-Wei pada majlis tayangan filem Hanyut di Finas.

Sudah terlalu kerap penggiat, pengkritik dan peminat seni perfileman tanah air bercakap mengenai filem Hanyut arahan U-Wei Haji Saari.

Filem yang dihasilkan sejak empat tahun lalu dengan kos RM18 juta ini sudah dibawa menjelajah ke beberapa negara lain, tetapi masih gagal menemui peminat di negara sendiri biarpun ramai yang sudah ternanti-nanti tayangannya.

U-Wei atau nama sebenarnya Zuhir Haji Saari bertegas enggan menayangkan filem ini atas alasan memerlukan dana khas dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi mempromosikannya secara meluas.

Isnin lalu, Finas mengadakan majlis tayangan khas filem berkenaan di Pawagam Mini P Ramlee di Finas, Hulu Klang.

Selain U-Wei, majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah, Datuk Kamil Mohd Othman.

Dalam majlis berkenaan, Finas secara dasarnya bersetuju untuk membantu U-Wei mendapatkan dana bagi mempromosi filem berkenaan.

Filem berlatarbelakangkan abad ke-19 ini diadaptasi daripada novel pertama tulisan Joseph Conrad berjudul Almayer Folly dan dihasilkan dengan kos RM18 juta. Ia menjalani penggambaran di Kuala Lipis dan Pekan, Pahang.

Ia dibintangi Peter O’Brien, Adi Putra, Diana Danielle, Bront Palarae, Alex Komang, Khalid Salleh, Sabri Yunus, Datin Sofea Jane, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

Ikuti temu bual wartawan RAP Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) bersama U-Wei dan Mohd Khusairi mengenai filem ini bagi merealisasikan impian peminat menonton Hanyut di bumi sendiri.

RAP: Apa perasaan anda dengan bantuan yang akan diberikan Finas?

U-WEI: Saya berbesar hati kerana Finas menyokong Hanyut. Kalau saya ada niat lain untuk buat filem yang mencerminkan jati diri kita, saya boleh buat dengan kos yang tertentu dan ambil sebahagian lagi.

RAP: Sebelum ini anda ada usaha berjumpa beberapa pihak untuk bekerjasama mempromosi filem ini?

U-WEI: Usaha membuat filem ini seperti berdoa. Berjumpa Finas adalah salah-satu usaha saya. Kalau boleh saya nak situasi menang-menang. Sebelum ini ada yang tak jadi kerana sebegini lama saya pegang, saya harus dapat pulangan yang tak memudaratkan saya.

Filem ini pun berkenaan jati diri. Jadi, yang membuatnya pun perlukan jati diri yang kuat juga. Kalau ikutkan, dari awal lagi saya patah semangat.

Pada saya jumlah RM18 juta untuk Hanyut adalah normal.

Pada saya kalau nak buat filem bertaraf antarabangsa, kosnya memang begitu. Kalau tengok nilai sinemanya dan segala perkara dalam ‘frame’ itu semuanya dibuat.

Contohnya kapal dan perkampungan kita bina sendiri. Tanah disewa dan pakar-pakar perlu dibayar. Saya juga gunakan tenaga kerja pakar berpengalaman dari luar negara. Di bawah mereka tenaga kerja orang kita supaya mereka belajar dan timba ilmu.

RAP: Harapan anda untuk filem ini?

U-WEI: Filem kalau tak ditonton ia belum sempurna. Cuma, saya tak boleh kawal pandangan orang apabila menonton nanti. Yang penting, mereka ada peluang untuk menonton.

Filem ini bukan untuk saya, tapi untuk generasi selepas ini. Saya nak mulakan sesuatu yang baru. Orang muda belum tentu nampak perkara ini dan menghasilkannya. Kalau ditanya perasaan, ya saya memang ‘nervous’ menanti tarikh ini.

RAP: Apa tujuan majlis ini diadakan?

KHUSAIRI: Saya difahamkan Hanyut sebuah filem bermutu dan diarahkan oleh pengarah tempatan yang berkaliber iaitu U-Wei Haji Saari. Dia ada berjumpa saya pada Khamis lalu bagi membincangkan hala tuju promosi filem ini.

Justeru saya buat majlis tayangan khas ini dan berdasarkan pendapat peribadi saya selepas menonton, saya dapati filem begini kurang diterbitkan oleh pengarah tempatan.

RAP: Apa yang dimahukan oleh U-Wei?

KHUSAIRI: Ada beberapa perkara yang ditanyakan berkenaan promosi. Kos pembikinan filem ini RM18 juta dan dia memerlukan dana khas RM1.8 juta bagi mempromosikan Hanyut untuk pasaran tempatan.

Saya tanya dia sama ada sudah ada plan promosi dan dia katakan ada. Kalau dilihat, U-Wei hasilkan beberapa filem yang berkualiti seperti Jogho dan Kaki Bakar, tapi aspek promosi yang dibuat agak lemah membuatkan filem itu gagal di pasaran.

Kita ada filem bermutu yang nak dipromosikan dan tak mahu filem seumpama ini yang dihasilkan oleh seorang pengarah terkenal tak dapat sambutan penonton sebagaimana sambutan yang diberikan terhadap filem seperti Polis Evo, The Journey dan Ola Bola.

RAP: Apa keistimewaan Hanyut?

KHUSAIRI: Selepas menonton tadi, saya dapati filem begini kurang diterbitkan di sini. Pada saya Hanyut sepatutnya mendapat sambutan hangat. Walaupun filem ini banyak meminta penonton untuk berfikir ketika menonton, tapi dari segi sinematografi, arahan, saya dapati ia cukup bermutu dan mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Hanyut sudah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa sama ada di peringkat pembukaan atau penutup termasuk di Belanda, Australia, Singapura dan beberapa negara lain. Ia juga akan ke Moscow Film Festival pada Jun nanti.

RAP: Apa yang akan cuba dibantu oleh Finas?

KHUSAIRI: U-Wei tak nak Hanyut terima nasib seperti filemnya yang terdahulu. Bagi memenuhi harapannya agar filem ini ditayangkan dalam keadaan penonton mendapat maklumat lengkap mengenai Hanyut, Finas akan cuba bantu dapatkan dana.

Walaupun tak sebanyak yang diminta, kami akan cuba usahakan dana khas sebelum tayangan Hanyut di pawagam. Selain itu saya sendiri minta bantuan rakan korporat dan individu untuk melabur dan dapat sikit pulangan.

Kami akan bantu menerusi saluran yang betul bagi mempromosikan Hanyut menerusi pelbagai saluran sedia ada.

RAP: Bila agaknya Hanyut akan menemui penonton?

KHUSAIRI: Finas berusaha untuk tayangkannya pada tahun ini juga, tapi ia perlu melalui syarat wajib tayang dan seterusnya kami akan pilih tarikh yang sesuai. Kami tak nak ia potong barisan filem lain.

RAP: Apa definisi yang diletakkan terhadap filem ini?

KHUSAIRI: Kami klasifikasikan Hanyut sebuah filem kenegaraan. Kisahnya berlaku di negara kita sekitar tahun 1840-an.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 8:38 AM