PANDUAN kurangkan masalah apabila dilambak dengan tugasan pembersihan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Sebagai wanita pasti tidak terlepas daripada memasak di dapur malah ada yang menjadikan aktiviti memasak sebagai kaedah merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Daripada membeli bahan untuk memasak dan sama-sama berganding bahu menyiapkan masakan pasti meninggalkan memori indah apatah lagi membayangkan makanan yang akan tersaji indah di atas meja.

Tidak cukup dengan itu, telatah ahli keluarga bersembang dan bergurau senda sambil menikmati hidangan tersedia memang dinanti, jika boleh semua momen mahu dirakam dengan lensa kamera dan memuat naik di laman sosial.

Namun, realitinya tidaklah seindah itu. Selesai acara masak-memasak, kita berdepan tugas besar yang menanti, iaitu mencuci dan mengemas tinggalan pinggan mangkuk dan sampah sarap. Lebih memeningkan apabila tugas itu diserah bulat-bulat kepada kita tanpa ada yang sudi membantu, pasti meninggalkan kenangan menakutkan untuk mengulangi aktiviti ‘menyeronokkan’ ini.

Jangan panik kerana ada beberapa cara untuk membersihkan dapur dengan mudah dan dalam waktu singkat. Pasti tiada masalah lagi jika kita dilambakkan dengan tugasan pembersihan ini.

1. Bersihkan mesin pengisar

Mesin pengisar antara alatan yang sering digunakan untuk memudahkan tugas memasak namun ada masa sisa yang tertinggal dalam bekas pengisar agak sukar dihilang atau ditanggal.

Cara pantas membersihkannya adalah dengan mengisi bekas pengisar dengan air panas. Titiskan dua ke tiga titis dengan sabun pencuci pinggan dan kemudian hidupkan mesin pengisar seperti biasa selama 20 saat. Biarkan putaran air membersihkan bahagian dalam bekas pengisar dan pisau pengisar.

Bilas di bawah air mengalir dan keringkan. Anda tidak perlu lagi mengalami masalah untuk menggosok sisa makanan dalam bekas pengisar, pada masa sama, bau bawang atau cili yang dikisar dapat dihilangkan bersama.

2. Bersihkan ketuhar gelombang mikro

Selepas memanaskan makanan berminyak atau berkuah, sisa kotoran akan melekat di seluruh bahagian dalam ketuhar. Anda boleh membersihkannya dengan tuala basah panas.

Caranya adalah dengan membasahkan beberapa helai tuala kecil dan panaskan dalam ketuhar selama tiga ke lima minit. Wap air yang terbentuk dari tuala basah akan melembutkan kotoran yang terlekat di bahagian dalam ketuhar. Selepas tuala sejuk, anda boleh menggunakannya untuk mengelap bahagian yang kotor.

3. Bersihkan teko tembaga lama

Jangan terburu-buru membuang teko tembaga lama yang nampak kusam atau buruk kerana anda boleh membuatkannya kembali berkilau dan tampak baru dengan cara mudah ini.

Isi teko hingga seperempat bahagian dengan ais. Potong lemon menjadi empat bahagian dan perah jusnya. Masukkan dua senduk makan garam dan kacau selama dua minit. Kemudian, bilas teko tembaga di bawah air mengalir dan lihat perubahannya.

4. Bersihkan kuali dari kekotoran

Kuali ada kalanya agak sukar dibasuh dengan sabun cuci pinggan saja lebih-lebih lagi yang sudah berkerak. Untuk membersihkannya dari kekotoran yang sukar dicuci, jangan gunakan sabun cuci pinggan atau berus kasar.

Sebaliknya gunakan tisu dapur dan garam dengan menggosok tisu dapur yang ditabur garam hingga kekotoran hilang. Bilas dengan air dan titiskan sedikit minyak sayuran sebelum menyimpannya.

5. Bersihkan lubang alat parutan keju

Geram kerana sisa keju yang melekat pada lubang alat parutan keju? Anda dengan mudah boleh membersihkannya dengan berus cat. Ini kerana bulu berus cat akan menolak keluar keju parut yang melekat di lubang parutan keju malah cara ini tidak akan melukakan tangan ketikan mencucinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 4:47 AM