MAYAT mangsa ditemui terapung dengan kesan di kedua-dua kakinya. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Kinabatangan: Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas ketika memeriksa bubu udang di Sungai Kampung Bilit, dekat sini, petang semalam, ditemui petang tadi dengan kesan luka di bahagian kedua-dua kakinya dipercayai dibaham buaya.

Mayat Zulmunir Sahid, 44, ditemui oleh pasukan penyelamat dan orang kampung pada 2.15 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Rosemidian Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis meminta bantuan untuk mengambil mayat yang terapung di Sungai Kampung Bilit, 2.10 petang.

"Pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai dibaham buaya dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Marcos Andy Lawrence Muhi ketika dihubungi berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka di bahagian kedua-dua kaki mangsa namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu.

"Mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, Zulmunir dikhuatiri lemas ketika memeriksa bubu udang yang dipasangnya di Sungai Kampung Bilit, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 8:54 PM