Wan Rosdi (dua dari kiri) pada seminar Dadah dan HIV/AIDS dalam kalangan penuntut IPTA di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Persatuan Anti Dadah dan AIDS Malaysia (PADM) ketika ini mengesan 10 kanak-kanak berusia bawah 10 tahun yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Penaung PADM, Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata, ia amat membimbangkan kerana dibandingkan pada 2010 hanya remaja berusia 15 hingga 17 tahun antara paling muda terbabit dengan dadah.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada individu yang mengambil kesempatan menjadikan kanak-kanak terbabit sebagai pengedar dadah.

"Hasil maklumat diterima turut mengesan kebanyakan kanak-kanak terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terdiri daripada mereka yang menghadapi masalah kepincangan dalam keluarga.

"Antara faktor lain yang menyebabkan golongan itu cenderung kepada dadah adalah seperti pergaulan, persekitaran, ketiadaan wang untuk berbelanja dan sebagainya," katanya di majlis penutup Seminar Dadah Dan HIV/AIDS Dalam Kalangan Penuntut IPTA di Politeknik Sultan Mizan, dekat sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 6:38 PM