Warga Myanmar yang ditahan bersama tong gas LPG dalam serbuan pagi tadi. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor tahan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga Myanmar bersama 164 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi selepas disyaki memindahkan gas berkenaan ke tong industri di Kawasan Industri Mas Jaya, Cheras, pagi tadi.

Serbuan kira-kira 11 pagi itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu.

Ketua Penguat kuasa KPDNKK Daerah Kajang Normaswari Nordin berkata, pihaknya mengesan premis terbabit menyedut LPG dari tong bersubsidi untuk kegunaan harian ke tong industri.

"Mereka mengaut keuntungan atas angin dari subsidi yang diberikan kerajaan. Semua yang ditahan berusia dari 20 hingga 50-an.

"Lori, 164 tong subsidi, 96 tong industri dan satu alat penimbang dirampas dalam serbuan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 2:56 PM