YOO Seung Ho rindu rakan-rakan di kem tentera.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Baru menginjak usia 22 tahun, pencapaian aktor tampan ini cukup mengagumkan. Baik drama atau filem persembahannya tidak pernah mengecewakan hingga menjadi sebutan. Terbukti Yoo Seung Ho berbakat besar dan bukan hanya sekadar bersandarkan rupa.

Membintangi drama Remember: War of the Son awal tahun ini, Yoo Seung Ho tampil hebat dengan watak penghidap penyakit Hyperthymesia.

Bagaimanapun, elemen romantik antaranya dengan heroin iaitu Park Min Young nyata paling mencuri perhatian. Sedangkan hakikatnya, aktor berkenaan mengakui dia bukanlah hebat menjiwai babak intim.

"Saya pemalu dan sangat gemuruh apabila bertemu Park Min Young buat pertama kali. Saya terkejut melihat dia dapat mendalami karakternya dengan pantas.

"Bekerja denganya, semua jadi mudah. Dia sentiasa buat saya rasa selesa di set penggambaran, sekali gus memudahkan segala babak yang membabitkan kami," katanya.

Meskipun digilai ramai, Yoo Seung Ho menegaskan dia belum merasai pengalaman bercinta dalam kehidupan sebenar. Pernah cuba mendekati seseorang ketika menuntut di sekolah tinggi, tetapi hasratnya itu tidak kesampaian.

"Saya tidak pernah bercinta. Namun, saya pernah menyukai seorang gadis di sekolah dulu. Saya cuba mendekatinya tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana perlu fokus dengan pelajaran.

"Kali terakhir saya mendengar cerita mengenainya, dia sudah bertemu dengan seseorang dan hidup bahagia. Saya pun sudah dapat melupakan dia," katanya.

Selepas tamat latihan ketenteraan pada 2013 dia kembali aktif berlakon dan kepulangannya mengubat kerinduan peminat yang lama menanti kemunculannya.

Bagaimanapun, anak muda ini mengakui dia merindui pengalaman berkhidmat dalam ketenteraan.

"Saya gembira tugasan itu sudah selesai, namun pada masa sama merindui rakan-rakan pelatih lain. Saya masih ingat pada hari terakhir di kem, mereka semua berkumpul dan menyanyikan sebuah lagu untuk saya.

"Saya cuba berlagak tenang depan kamera, namun tidak sampai seminit air mata terus mengalir. Ia sungguh menyentuh hati. Mana tidaknya, segala penat lelah serta masa sukar kami tempuh bersama-sama," katanya.

Mengulas lanjut perihal karier, aktor berkenaan menggunakan pengalaman sendiri untuk menghayati watak di set penggambaran.

"Sebagai pelakon saya masih ada banyak kekurangna. Bagi saya, semakin banyak pengalaman maka makin mudah untuk menjiwai karakter.

"Saya mahu sentiasa tampil dengan kejutan dan memastikan penonton nampak sisi berbeza kemampuan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 8:26 AM