NORULHUDA (kiri) berpeluang rasai sendiri cabaran menggunakan senjata.
Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


Kursus menembak anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memberi peluang kepada sembilan pegawai wanita jabatan berkenaan menimba kemahiran dalam usaha menambah pengalaman terhadap penggunaan senjata api dengan cara betul.

Program dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing, Kuantan, menyediakan tiga jurulatih berpengalaman yang bertanggungjawab mencurahkan ilmu kepada peserta mengenai teknik menembak menggunakan pistol dan senapang jenis pump gun.

Pegawai Hutan Daerah (PHD) Temerloh Azqan Dalila Ahmad Tajuddin berkata, pengalaman menyertai kursus yang diadakan memberi kelebihan kepadanya menggunakan senjata api dengan cara selamat.

Walaupun tidak mempunyai senjata api peribadi, namun itu tidak bermakna dia tidak layak mengikuti kursus berkenaan yang memberi pelbagai pendedahan seperti menjaga, me­nyelenggara dan teknik menembak dengan betul.

Katanya, itu kali kedua dia mengikuti kursus menembak yang turut mengajar erti kesabaran, tumpuan, disiplin dan semangat selain kekuatan mental dan fizikal juga perlu ada bagi memastikan tembakan tepat ke sasaran.

“Perasaan cemas ketika kali pertama memegang pistol dapat dikurangkan apabila mendapat sokongan jurulatih dan rakan, keyakinan diri akan muncul apabila tembakan mengenai sasaran.

“Saya berpeluang melakukan lebih 20 tembakan menggunakan pistol bagi acara individu dan berpasukan, pengalaman menjadi kelebihan kepada saya mencatat keputusan terbaik pada pertandingan diadakan,” katanya berharap dapat mengikuti kursus sama pada masa akan datang.

Kursus menembak itu yang diadakan di lapang sasar PGA Bukit Galing turut disertai seramai 70 pegawai dan kakitangan pelbagai peringkat termasuk anggota Unit Penguatkuasa JPNP.

Azqan Dalila berkata, selain pistol dia turut berpeluang menggunakan senapang jenis pump gun milik JPNP.

“Kekuatan fizikal perlu ada ketika menembak menggunakan senjata berkenaan yang tidak semua peserta wanita sanggup mencubanya.

“Walaupun perasaan takut sentiasa ada ketika menembak, saya kuatkan semangat dan yakin boleh. Saya berpendapat jika anggota polis wanita boleh menyerlah sebagai penembak tepat kenapa saya tidak boleh,” katanya yang muncul juara keseluruhan kategori wanita.

Rakannya, Nurul Hidayah Hadzuha, 32, berkata, menembak menggunakan senapang jenis pump gun begitu mencabar berbanding pistol kerana kekuatan fizikal perlu ada bagi me­ngelak senjata terjatuh apabila tembakan dilepaskan.

Katanya, itu kali kedua dia menyertai kursus menembak dianjurkan JPNP. Walaupun cemas di peringkat awal latihan, ia hilang apabila beberapa kali diberi peluang menembak.

“Pengalaman menyertai kursus dan pertandingan menembak diadakan kali ini begitu menyeronokkan. Cuaca panas seolah tidak terasa apabila diberi kesempatan menembak dalam acara individu dan berpasukan.

“Walaupun gagal meraih kejayaan pada pertandingan yang diadakan, saya tetap berbangga terpilih menyertai kursus seterusnya berpeluang meraih banyak pengalaman berharga,” katanya yang kini memikul jawatan sebagai Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Barat) Raub.

Katanya, jika diberi peluang menyertai kursus seperti itu pada masa akan datang dia pasti tidak akan menolaknya memandangkan terlalu banyak pengalaman diperoleh yang tidak mungkin dapat dikutip jika bertugas di jabatan lain.

“Bertugas dengan JPNP memerlukan saya masuk ke dalam hutan bagi melakukan pelbagai aktiviti seperti pemantauan hutan, pengalaman diekori harimau belang sebelum ini membuatkan saya teringin memiliki senjata api.

“Namun, disebabkan beberapa faktor, saya tidak layak untuk memiliki senjata api. Ada ramai juga pegawai dan kakitangan JPNP dibekalkan dengan senjata api untuk keselamatan diri,” katanya berasal dari Johor.

Norulhuda Ali, 31, berkata, sebelum ini dia merasakan aktiviti menembak mudah, tetapi apabila berpeluang berbuat demikian terasa kesukaran terutama untuk mendapat sasaran tepat dan memuaskan.

“Selepas beberapa kali menembak menggunakan pistol perasaan seronok mula timbul, walaupun tidak menepati sasaran itu tidak penting. Yang lebih utama dapat merasai sendiri cabaran melepaskan tembakan.

“Ketika menganggotai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Putra Malaysia (UPM) saya hanya menggunakan senapang M16 namun kali ini saya berpeluang menggunakan pistol dan senapang jenis pump gun,” katanya yang sentiasa bertugas di hutan.

Dia yang juga Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur) Kuantan berkata, sokongan diberikan suami yang turut sama menyertai kursus berkenaan menambahkan lagi semangat untuk mencuba menembak menggunakan pistol dan senapang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 5:32 AM