HARIMAU Belang yang dijumpai lelaki Orang Asli. FOTO ihsan Polis
Asrizal Aris
am@hmetro.com.my


Tapah : Lelaki Orang Asli terkejut apabila seekor harimau belang terperangkap di dalam jerat babi yang dipasangnya di kawasan hutan Batu 10, Jalan Pahang, dekat sini, 1 petang semalam.

Berikutan itu lelaki yang dikenali U Waslostri dari kampung berhampiran kawasan berkenaan membuat aduan di Balai Polis berhampiran.

Menurut sumber, pihak polis turut memaklumkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri sebelum pemantauan dijalankan dan haiwan berkenaan ditangkap pagi tadi.

Pengarah PERHILITAN negeri, Rozidan Md Yasin berkata, harimau jantan berkenaan ditembak pelali pertama kali, 9.40 pagi tadi.

Menurutnya, 15 kakitangan terbabit dalam operasi berkenaan.

"Harimau berkenaan dianggarkan berusia 14 hingga 17 tahun dengan berat 170 kilogram.

"Haiwan berkenaan berada dalam keadaan sihat dan selamat dikeluarkan pada 2 petang tadi sebelum dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar di Sungkai untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 7:03 PM