Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Padang Besar: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warganegara Thailand serta merampas sepucuk pistol, sebutir bom tangan dan satu karung guni berisi daun ketum di Padang Besar pada awal pagi semalam.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku pada 1.45 pagi ketika anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan tugasan rondaan di sekitar kawasan Padang Besar ternampak kelibat dua lelaki dalam kedaan mencurigakan sedang menolak motosikal di hadapan Stesen Minyak Caltex berhampiran Taman Perumahan Kastam, Jalan Kangar-Padang Besar.

"Anggota polis kemudian memperkenalkan diri kepada kedua-dua suspek berusia 25 dan 21 tahun itu sebelum melakukan pemeriksaan ke atas mereka dan menemui satu karung guni yang mengandungi daun hijau disyaki ketum pada bahagian platform pemijak kaki motosikal itu," katanya.

MenurutnyaPemeriksaan selanjutnya ke atas suspek warganegara Thailand yang berusia 25 tahun itu menjumpai sepucuk pistol, sebutir bom tangan dan dua paket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu yang disimpan dalam beg suspek itu.

"Kedua-dua suspek itu di bawa ke Balai Polis Padang Besar untuk siasatan lanjut," katanya.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya mengucapkan syabas kepada pasukan PGA Briged Utara yang berjaya membuat tangkapan dan rampasan itu.

"Syabas PGA Brigade Utara @PDRMsia pagi tadi tkap 2L di Pdg Besar Perlis rampas 1 guni daun ketum, pistol dan bom tangan. #GoPDRMGo” katanya dalam Twitternya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 3:59 PM