Kereta Toyota Camry yang disita kerana dipercayai menggunakan nombor pendaftaran motosikal. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Kereta Toyota Camry dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu, antara lima kenderaan disita dalam Operasi Khas Bersepadu sempena Tahun Baru Cina, di Jalan Syed Abdul Aziz, malam tadi.

Dalam Operasi bermula 8 malam hingga 12.30 tengah malam yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu, kereta Toyota Camry putih terbabit dikesan menggunakan nombor pendaftaran milik motosikal yang didaftarkan di Wilayah Persekutuan.

Jurucakap JPJ negeri berkata, selain kereta terbabit, sebuah lagi kereta, lori dan dua motosikal turut disita kerana tidak memiliki cukai jalan.

Dalam operasi terbabit juga, 94 saman dikeluarkan selain 25 notis arahan periksa dan 10 notis larangan kenderaan berada di atas jalan raya dikeluarkan.

Menurutnya, enam lelaki turut ditahan AADK kerana positif methamphetamine, morfin dan ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 2:53 PM