OTHMAN (tengah) bergambar selepas mempengerusikan mesyuarat pelarasan yang diadakan kelmarin.

Jasin: Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengulangi pendirian untuk memberi komitmen padu dalam memastikan Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014, di Asahan hujung minggu ini berjalan lancar.

Pada mesyuarat penyelerasan dipengerusikan Setiausaha MPJ Othman Abd Latiff bersama agensi kerajaan lain kelmarin, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sudah menyelaraskan pelbagai bantuan kepada penganjur dalam menjayakan kejohanan yang julung kali dianjurkan di negeri ini.

Othman berkata, menerusi mesyuarat berkenaan pihaknya membuat keputusan membabitkan peranan dimainkan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Jasin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Daerah Jasin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Asahan, Jabatan Kesihatan, pengurusan Kompleks Saujana Majis Sukan Negara (MSN) dan MPJ sendiri.

Katanya, setiap agensi kerajaan terbabit sedia memberi kerjasama dengan menyediakan kemudahan dan khidmat membabitkan petugas bagi tujuan keselamatan peserta yang akan berlumba nanti.

“Kami mahu memastikan aspek keselamatan seperti kawalan lalu lintas, trek perlumbaan, bantuan kecemasan serta keselamatan di venue perlumbaan diberi perha
tian dan menerusi mesyuarat itu agensi kerajaan dan pasukan keselamatan sedia memberi kerjasama padu.

“Kita juga menyediakan bantuan teknikal berkaitan pembersihan kawasan, pengurusan dan logistik bagi memastikan penganjur dapat menjalankan tugas tanpa masalah,” katanya selepas mesyuarat berkenaan.

Hadir sama pada mesyuarat itu Pengarah kejohanan Husain Jahit, Pengarah Teknikal Noor Azam Abd Aziz, Pengarah Projek Harian Metro Abd Kadir Hamza dan Ketua Biro Harian Metro Melaka Mohd Nur Asnawi Daud.

Othman berkata, pihaknya perlu memberi komitmen sepenuhnya, kerana sebagai tuan rumah mereka perlu melakukan yang terbaik untuk menyambut kedatangan ‘tetamu’ dari seluruh negara termasuk antarabangsa.

Katanya, mereka perlu membuat yang terbaik, kerana kejohanan ini menjadi medium mempromosikan daerah ini terutama di Asahak sebagai lokasi pelancongan sukan.

“Kita turut memberi kerjasama kepada penganjur supaya dapat memasang ‘bunting’ sebagai promosi kejohanan akan berlangsung nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:08 AM