KAPTEN Palace, Jedinak (kanan) menjaringkan gol ketiga ketika menumpaskan Liverpool.

Kingston Upon Hull: Pemain tengah Denmark Christian Eriksen menjaringkan gol pada minit terakhir permainan bagi membolehkan Tottenham Hotspur melakar kemenangan 2-1 ke atas Hull City, kelmarin.

Bekas pemain tengah Spurs Jake Livermore memberikan pendahuluan buat Hull di Stadium KC tetapi skuad tuan rumah gagal mempertahankan kelebihan itu apabila Gaston Ramirez dilayangkan kad merah pada minit ke-50.

Harry Kane menyamakan kedudukan ketika permainan melewati tempoh sejam sebelum Eriksen menghasilkan gol kemenangan. Ia adalah kejayaan ketiga Spurs dalam 10 perlawanan liga setakat ini.

Hull yang dibimbing Steve Bruce dan muncul finalis Piala FA musim lalu, tewas buat kali kelima dan menduduki tangga ke-16, satu mata di luar zon penyingkiran.

Kesungguhan kedua-dua pengurus untuk menamatkan episod kekalahan membuatkan mereka menurunkan kombinasi pemain berlainan berbanding perlawanan sebelum ini.

Penjaga gol Allan McGregor adalah antara pemain baru yang diserap ke dalam skuad Hull dan kebolehannya pantas diuji Roberto Soldado menerusi rembatan rendah pada awal permainan.

Hull mendahului pada minit kelapan apabila Livermore menerima bola yang cuba dikeluarkan Federico Fazio sebelum melepaskan rembatan rendah ke penjuru kiri gawang Spurs.

Hull mengawal permainan tetapi kesilapan mereka membolehkan pelawat menyamakan kedudukan selepas permainan babak kedua berlangsung.

Kane menjaringkan gol pertama Spurs selepas sepakan percuma Eriksen singgah di kakinya manakala pada minit ke-90, Eriksen yang menerima hantaran Lennon, melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan McGregor. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:06 AM
Skip this ad x