LEBIH utamakan mutu lakonan terbaik ikut kehendak pengarah.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Meskipun dua filem lakonannya, Mirip dan Gangster Celop mendapat sambutan biasa-biasa sahaja di pawagam, Reen Rahim, 28, sama sekali tidak kecewa.

Bahkan Reen tetap bersikap terbuka untuk terus terima tawaran berlakon filem yang datang kepadanya apabila mendapati watak itu sesuai.

Bagi Reen atau Noreen Ashikin Abdul Rahim, sebagai pelakon apa yang paling diutamakan ialah memberi lakonan mantap dan berkualiti.

“Sama ada filem yang saya lakonkan itu laku atau tidak di pawagam, bergantung pada sejauh mana sambutan diberikan penonton.

“Di pihak saya, tanggungjawab merealisasikan watak dilakonkan itu sudah sebaik mungkin cuba dilakukan mengikut kehendak pengarah.

“Rasanya, tiada sebab untuk saya menolak tawaran berlakon filem terbaharu asalkan watak ditawarkan sesuai dan mampu dilakonkan,” katanya.

Juga membintangi filem Mawar Putih arahan Datuk Rosnani Jamil, Reen kini sibuk di lokasi filem Soulmate arahan Datuk A Razak Mohaideen.

Dalam Soulmate, Reen sekadar melakonkan watak pembantu tetapi tertarik menerimanya kerana dapat bekerjasama dan menimba pengalaman berlakon dengan pelakon senior seperti Erra Fazira, selain jalan ceritanya yang menarik.

“Selain Erra, penyanyi dari Singapura, Taufik Batisah juga membintangi filem ini. Kerjasama di antara kami lancar dan berjalan dengan baik,” katanya.

Selain filem, Reen juga masih aktif membintangi drama dan terbaharu, berlakon dalam Jom Kahwin arahan Kabir Bhatia dan Labu. Mendapat kepercayaan melakonkan watak utama, drama 15 episod terbitan Filmscape Sdn Bhd itu akan disiarkan di saluran Hypp TV.

Menerusi Jom Kahwin, Reen berganding dengan Keith Foo di samping Bil Azali, Nadzmi Adhwa dan Ezzaty Abdullah.

“Drama ini kerjasama kali pertama saya dengan pengarah Kabir Bhatia dan saya bersyukur diberi peluang pegang watak utama.

“Bagi saya, Kabir adalah pengarah yang sangat membantu pelakon kerana bersikap terbuka dalam memberi bimbingan lakonan dan suka berbincang.

“Jika ada yang kurang dalam persembahan lakonan saya, Kabir akan menegur dan memberi tunjuk ajar. Saya sangat selesa kerana Kabir sungguh profesional,” katanya.

Reen juga menghormati etika Kabir di lokasi kerana setiap arahan, teguran dan bimbingan diberikan kepada pelakon, sedikitpun tidak terjerit-jerit.

“Dia akan berbincang dengan baik. Itu yang saya paling kagum. Apapun, sebagai pelakon apa yang paling penting faham tuntutan watak dilakonkan dan perlu sentiasa berbincang dengan pengarah,” katanya.

Mula langkah ke dunia lakonan pada 2011 selepas menjuarai program realiti pencarian bakat lakonan, Pilih Kasih musim ketiga, Reen akui hingga kini tiada istilah pilih cerita atau watak dalam kamus kerjayanya sebagai pelakon.

“Saya tahu ada yang memilih sesuatu tawaran berdasarkan watak dan jalan cerita tapi saya pula berpegang pada janji. Itu sangat penting kerana saya boleh terima apa saja watak asalkan sesuai.

“Jika saya sudah memberi persetujuan untuk menerima tawaran berlakon dalam satu-satu drama, semestinya janji dibuat akan terlaksana.

“Saya bukan orang yang suka mungkir janji kerana menjadi impian saya untuk bertahan lama dalam karier seni diceburi. Saya sayangkan kerjaya ini,” katanya.

Reen kini berbangga kerana berjaya mempamerkan lakonan berkesan meskipun watak pembantu. Pada kemuncak Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) yang berlangsung pada 8 No–vember lalu, namanya tersenarai dalam Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi Talak yang dibintangi bersama Fizo Omar dan Diana Danielle.

Meskipun tiada rezeki untuk menang, Reen sudah puas kerana impiannya untuk drama dibintangi tersenarai dalam pencalonan ASK 2015 menjadi kenyataan.

Selesa bersikap positif, Reen juga hebat jika melakonkan watak antagonis. Ia dibuktikannya menerusi drama Hidayahmu Ramadan untuk TV3, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:03 AM