LEPAS kerjaya pengacara dan penyampai radio yang angkat namanya jadi selebriti serba boleh.

Bermula sebagai peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Aril kemudian membina namanya sebagai pengacara dan penyampai radio.

Demi mengejar kembali impiannya untuk menjadi penyanyi, Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus terpaksa melepaskan dua kerjaya yang turut mengangkat namanya menjadi selebriti serba boleh.

Walaupun keputusan diambil itu sangat berat, Aril tidak punya pilihan sekiranya mahu melangkah lebih jauh sebagai penyanyi.

Menjadikan impian sebagai satu kenyataan, Aril yang pernah berduet dengan penyanyi Indonesia, Terry akhirnya menghasilkan album penuh pertamanya pada 2014 dan menampilkan sembilan buah lagu.

Antara lagu dimuatkan dalam album terbabit ialah Cari Aku, Menggeletar, Bangkit termasuk lagu Kembali Senyum nyanyian asal arwah abangnya, Izwan Pilus.

Anak ketiga daripada empat beradik ini adalah pemenang tempat kedua dalam AF7. Dia tersingkir pada konsert minggu ketujuh, namun kembali meneruskan perjuangan apabila diundi masuk menerusi AF MASUK.

Dia mula dikenali menerusi single Toksik dan Menatap Matamu. Dia juga berlakon bersama Mila Jirin dan Akim Ahmad dalam drama Kau dan Aku serta telefilem berjudul Shuffle Milikku. Selain itu, Aril turut berkesempatan mengendalikan rancangan Trek Selebriti.

Aril berkahwin dengan bekas pramugari, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin pada 20 Disember 2013 di Kota Bharu, Kelantan. Dia menimang cahaya mata pertama, Tun Adriel Mikael pada 24 November 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:02 AM