REKAAN XV kini tambah bergaya dengan lampu nyalaan siang LED.
Oleh Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Sebagai modelnya yang paling laris, Motor Image Malaysia Sdn Bhd pengedar eksklusif jenama Subaru di Malaysia memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Subaru XV dipertingkatkan varian 2016.

Ia kini ditawarkan dengan dua varian membabitkan 2.0i dan 2.0i-Premium tetapi mengekalkan pemanduan All-Wheel Drive bersesaran 1,995cc petrol dengan enjin boxer empat silinder yang menghasilkan 150PS kuasa kuda dengan tork setinggi 196Nm.

Dijual sebanyak 2,400 unit tahun lalu, model pemasangan tempatan itu ditambah baik dengan beberapa ciri bahagian luaran dan dalaman yang menarik.

Ciri terkini membabitkan jeriji berbentuk heksagon dengan rekaan lampu hadapan berbentuk C yang unik, manakala varian Premium dipasang dengan lampu nyalaan siang.

Selain itu, rekaan lampu belakang kombinasi baharu lebih menyerlah dan dipadankan dengan rim bersaiz 17 inci bergaya.

Sesuai untuk pelbagai aktiviti, bahagian dalaman Subaru XV 2016 didatangkan kerusi kulit dengan kemasan jahitan berwarna oren.

Subaru XV itu juga dipasang sistem kod pin akses membolehkan anda meninggalkan kunci kereta di dalam kenderaan dan membuka kembali dengan kod ditentukan sendiri dengan butang di bonet.

Pengurus Besar Motor Image Malaysia, Andrew Lee berkata, jentera berkenaan sesuai bagi mereka yang aktif selari dengan kempen pemasaran mereka iaitu ‘Unpark Your Life’.

“Kempen ini menyaran pemandu memandu keluar dari kota untuk melakukan aktiviti yang boleh meredakan tekanan kerja dan menikmati sepenuhnya fungsi serta kegunaan pada model Subaru XV terkini,” katanya.

Subaru XV dipertingkatkan itu ditawarkan enam pilihan warna membabitkan putih, perak, khaki, oren, kelabu dan hitam dijual pada RM132,724.65 bagi varian 2.0i, manakala 2.0i-Premium berharga RM137,074.89.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:01 AM