PENYOKONG tuan rumah memberi semangat kepada pasukan Terengganu dalam Perlawananan Liga Super2016 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak malam ni. FOTO Aswadi Alias
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Terengganu bermula langkah kanan apabila berjaya menundukkan Pulau Pinang 1-0 dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak malam tadi.

Skuad Peteh bermula garang apabila melancarkan asakan ke kubu lawan sebaik wisel ditiupkan dan hampir mendahului pada minit ke-5 perlawanan, namun penyerang kelahiran Kanada Issey Nakajima Farran gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Reinaldo Rodrigues.

Selepas hampa menghasilkan jaringan pertama jentera serangan tuan rumah memperkemaskan asakan dan nyaris mendahului pelawat enam minit kemudian namun tendangan leret Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditangkap kemas penjaga gol pasukan pelawat Anuar Sani Kamsani.

Tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah pemain pelawat menukar rentak permainan dan kerap mengasak kubu Terengganu namun berjaya dipatahkan pertahanan yang diketuai pemain dari Cameroon Vincent Bikana.

Keghairahan tuan rumah untuk memburu jaringan pertama terhasil apabila pemain tengah Gustavo Lopez merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-24 sekali gus menggamatkan lebih 15,000 penonton yang hadir.

Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan kencang kapten pasukan Muhd Rafiuddin Rodin dari luar kotak penalti sepuluh minit berselang terkena palang gol begitu juga tolakan pemain itu lima minit kemudian berjaya ditepis penjaga gol.

Dua minit sebelum menuju ke bilik persalinan Lopez hampir menambah jaringan pasukannya hasil tendangan percuma tetapi penjaga gawang pelawat sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain kelahiran Argentina itu begitu juga tindakan susulan daripada Norshahrul Idlan.

Sebaik bersambung babak kedua pemain gantian pelawat Muhd Faizat Ghazali melepaskan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan selepas tendangan pemain itu sekadar melepasi palang gol.

Terengganu juga memperolehi peluang menarik untuk menghasilkan jaringan kedua menerusi Norshaharul Idlan dan Issey Nakajima, namun sepakan Mat Yo terkena tiang gol pada minit ke-51 manakala tolakan Issey Nakajima berjaya dihalang pertahanan pelawat.

Pada minit ke-75 tuan rumah memasukkan pemain import yang baru ditandatangani lima hari lalu Juan Jose Morales untuk menambah sengat di bahagian serangan namun pemain dari Argentina itu masih belum mampu mempamerkan aksi terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 12:12 AM