FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Penyerang import dari Maldives Ashraq Ali membuktikan dia antara penggempur berbisa Liga Super musim ini selepas meledak gol kemenangan PDRM ketika menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Ashraq merembat masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-76 menewaskan penjaga gol Mohd Iqbal Suhaimi ketika kedua-dua pasukan buntu membuka jaringan dalam perlawanan yang amat berhati-hati daripada kedua dua pasukan.

Malah skuad terbabit hampir memperolehi jaringan pembukaan pada minit ke-30 namun rembatan deras Andre Francisco Wiliams sedikit tinggi melepasi palang gol Sarawak.

Tidak banyak aksi menarik dipamer kedua-dua pasukan dengan gerakan bola lebih banyak di tengah padang menerusi persembahan berhati-hati pemain mengatur gerak bagi mengelak kesilapan.

PDRM hampir mendahului pada minit ke-67 namun tandukan kencang Ashraq Ali sekadar menggegar palang gol pelawat ketika kira-kira 1,000 peminat setia pasukan itu berdiri untuk meraikan jaringan, namun kehampaan mereka terubat pada minit ke-76.

Sarawak bagaimanapun terpaksa meneruskan aksi tanpa kapten pasukan pada pertengahan babak kedua selepas Hairol Moktar diarah keluar padang akibat kecederaan dan diganti Ronny Harun.

Peluang terbaik anak buah Datuk K Rajagobal menyamakan kedudukan pada minit-86 namun rembatan kencang Nur Shamie Iszuan Amin berjaya ditangkap kemas penjaga gol PDRM Mohd Haziq Nadzli.

Jurulatih PDRM, Fauzi Pilus berkata, beliau amat berpuas hati dengan kemenangan berkenaan tambahan skuad terbabit di pimpin bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal.

Katanya, pemain beraksi pada tahap memuaskan untuk meraih mata berharga sekali gus membakar semangat pemain untuk lebih bersedia dalam aksi selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 12:11 AM