Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kuala Krai: Jambatan sementara Kampung Pemberian, di sini, kini sudah boleh digunakan selepas siap dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak minggu lalu.

Jambatan di Sungai Lebir yang menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor sepanjang 80 meter itu dirasmikan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Mustapa berkata, jambatan berkenaan dibina ATM dengan peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada ATM yang bertungkus lumus menyiapkan jambatan ini dalam 10 hari.

“Jambatan ini memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk di kawasan sekitar dapat berulang-alik ke bandar ," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan jambatan sementara Kampung Pemberian runtuh, Disember 2015, selepas rempuhan kuat sisa kayu balak dalam kejadian banjir.

ATM kemudian membantu membina jambatan sementara (jetfloat) untuk menggantikan jambatan Kampung Pemberian berkenaan.

Sementara itu, Zulkifeli berkata, 90 anggota ATM terbabit untuk menyiapkan jambatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 1:07 PM