SEORANG lelaki menendang perisai polis ketika dia dan anggota keluarga banduan bertempur dengan polis di luar penjara Topo Chico, semalam.

Monterrey( Mexico): Pergaduhan meletus semalam sebelum polis mengeluarkan senarai banduan yang terbunuh dalam rusuhan di penjara Topo Chico kelmarin.

Rusuhan dalam penjara itu yang mengorbankan 49 orang tahanan membabitkan dua kumpulan bertentangan dalam kartel dadah Zetas yang berebut untuk menguasai penjara di Monterrey, bandar perindustrian di utara Mexico.

Ratusan anggota keluarga tahanan berkumpul di luar penjara itu sejurus sebelum Subuh selepas mengetahui pergaduhan dan kebakaran di pusat tahanan berkenaan.

Mereka menjerit dari luar pagar untuk mendapatkan maklumat mengenai banduan sementara yang lain cuba membuka pintu pagar utama dan melontar batu ke arah polis kerana marah.

Sebaik seorang pegawai menampalkan senarai mangsa yang terbunuh, anggota keluarga banduan terbabit meraung dan ada yang pengsan.

Gabenor negeri Nuevo Leon, Jaime Rodriguez berkata, 12 orang turut cedera dalam rusuhan dalam penjara itu yang berlarutan sehingga 40 minit.

“Mereka menggunakan senjata tajam, kayu dan belantan,” kata Rodriguez.

Kira-kira 3,800 banduan ditahan di penjara yang boleh memuatkan seramai 3,635 orang itu.

Rodriguez berkata, seorang tahanan ditembak mati oleh pengawal yang melindungi sekumpulan wanita.

Menurutnya, rusuhan berlaku kerana pertelingkahan antara dua anggota Zetas, Jorge Ivan Hernandez Cantu yang juga dikenali sebagai El Credo dan Juan Pedro Zaldivar Farias atau El Z-27. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:58 AM